BALIK PULAU – Tragedi tsunami yang menggempar dunia 20 tahun lalu dengan meragut ribuan nyawa di seluruh dunia termasuk 67 mangsa di Malaysia masih meninggalkan kesan besar kepada penduduk tempatan.
Seorang nelayan di Pulau Betong di sini, Ahmad Din, 70, mengakui masih terbayang ombak ganas tsunami yang menghempapnya ketika keluar memukat ikan di laut bersama seorang rakan pada 26 Disember 2004.
“Saya cuba lupakan tentang kejadian itu (tsunami), kalau boleh tidak mahu sebut dan dengar lagi tentangnya sebab rasa takut akan datang semula.
“Sampai hari ini saya masih trauma dengan ombak besar. Hati mula jadi tak keruan tetapi apakan daya, ini sahaja sumber rezeki saya sejak lebih 40 tahun lalu,” katanya kepada Kosmo!.
Ahmad memberitahu, detik paling sukar dilupakan apabila bot yang mereka naiki dilambung ombak tinggi sebanyak tiga kali sebelum terhempas ke pantai.
“Sebelum turun ke laut kira-kira pukul 12.40 tengah hari, saya singgah minum kopi di sebuah kedai dan ketika itu sudah terasa gegaran kecil.
“Saya ingatkan tiada apa-apa berlaku dan terus turun ke laut. Semasa berada di perairan Pantai Pasir Panjang, saya sekali lagi merasa gegaran dan melihat ombak besar datang ke arah kami.
“Bot kami naik macam roket (memacak). Saya dan rakan ketika itu tidak dapat mengawal diri, paut pada tiang. Kami menggelongsor ke kiri dan kanan bot. Saya pegang erat rakan supaya dia tidak jatuh ke laut,” ujarnya.
Seorang lagi penduduk, Nornie Ismail, 46, berkata, dia masih terngiang-ngiang jeritan meminta tolong daripada penduduk di Jeti Pulau Betong.
“Masa kejadian, saya dan kakak berada di rumah untuk menyiapkan makanan manakala keluarga termasuk anak, anak saudara, adik semua sedang berkelah di Pantai Pasir Panjang tak jauh dari rumah kami.
“Mula-mula, saya dengar orang di jeti menjerit lari…lari…saya terus teringat kepada keluarga yang sedang berkelah di situ. Sampai di sana, saya nampak ombak kuat masih ada, mayat-mayat pun ada,” kata ibu kepada empat orang anak itu.
Di Sungai Petani, Kedah, hampir 87 keluarga di Kampung Kepala Jalan, Kuala Muda di sini menyifatkan tanggal 26 Disember setiap tahun adalah detik ngeri dan mengharapkan tragedi itu tidak berulang buat kali kedua.
Seorang penduduk, Idris Hussin, 71, berkata, dia masih terbayang kejadian itu kerana semasa dibadai ombak besar, dia sedang membuat persiapan berkelah di tepi pantai berhadapan rumah jirannya.
“Saya dan ahli keluarga sedang membawa makanan yang diambil dari rumah kenduri untuk dimakan di tepi pantai.
“Selepas meletakkan ‘nasi kenduri’ di atas hamparan tikar, kami dikejutkan dengan air laut tiba-tiba surut seolah-olah disedut ke tengah laut menyebabkan kawasan gigi pantai kering kontang,” katanya.
Dalam pada itu, tsunami tersebut turut menyebabkan kematian Norma Ahmad, 50, kakak kepada Che Aman Ahmad, 66.
Che Aman berkata, semasa dibadai ombak besar, dia dalam perjalanan ke Kampung Masjid untuk menghadiri jemputan kenduri kahwin.
“Sebaik sahaja tiba di simpang tiga saya terkejut melihat ombak besar menghampiri ke kawasan sepanjang Kuala Muda menyebabkan saya cuba berpatah balik.
“Dalam perjalanan pulang saya mula dibadai ombak kecil menyebabkan saya terpaksa meninggalkan motosikal dan berlari ke arah rumah selepas melihat satu lagi ombak besar menghampiri kampung,” katanya.
















