SEJAK lapan tahun lalu, sebahagian besar tempoh berkenaan boleh dianggap sebagai era Manchester City yang berjaya menguasai bola sepak England sebaik tibanya Pep Guardiola.
Meraih empat gelaran Liga Perdana Inggeris berturut-turut termasuk pada musim lalu dan memulakan musim ini dengan konsisten dengan sembilan perlawanan tanpa kalah, tidak ada yang mampu menjangkakan apa yang sedang dilalui The Citizens ketika ini.
Bermula dengan kekalahan 1-2 kepada Tottenham Hotspur pada aksi Piala Liga Inggeris pada 30 Oktober lalu, City bagaikan terkena ‘sihir’ yang dahsyat apabila tewas lima perlawanan berturut-turut dan hanya mencatat satu kemenangan dalam 12 perlawanan.
Situasi itu bukan sahaja mengejutkan peminat City, malah seluruh dunia bola sepak juga pening memikirkan mengenai apa yang berlaku sehingga pelbagai teori yang keluar ekoran prestasi merudum ditunjukkan oleh kelab milik Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahyan.
Kehilangan pemain tengah yang juga pemenang Anugerah Ballon d’Or, Rodri dicanang sebagai punca utama kejatuhan City selepas pemain itu terpaksa melupakan musim ini akibat kecederaan anterior cruciat ligament (ACL) pada September lalu.
Biarpun bola sepak bukanlah permainan individu, namun statistik menunjukkan City hanya tewas sekali sepanjang 53 perlawanan dalam semua kejohanan dengan kehadiran Rodri.
Pemergian Txiki Begiristain yang meninggalkan jawatan sebagai pengarah bola sepak City pada Oktober lalu juga dikatakan menjadi punca kesengsaraan yang dilalui mereka apabila beliau dianggap sebagai ‘tangan kanan’ Guardiola sebelum ini.
Keputusan City untuk tidak aktif pada jendela perpindahan musim panas lalu juga dianggap menyumbang kepada ‘tragedi’ yang dihadapi apabila mereka hanya membawa pulang Ilkay Gundogan dan membeli Savinho selain memutuskan untuk melepaskan khidmat Julian Alvarez.
Percaturan itu akhirnya memakan diri apabila krisis kecederaan beberapa lagi tonggak utama selain Rodri seperti Kevin De Bruyne, John Stones, Manuel Akanji, Ruben Dias, Jack Grealish dan Jeremy Doku menyebabkan mereka hilang keseimbangan.
City dan Guardiola juga terlepas pandang tentang kesilapan yang dilakukan oleh jiran mereka, Manchester United ketika Sir Alex Ferguson membuat keputusan bersara apabila meninggalkan kelab itu dengan pemain-pemain seperti Patrice Evra, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Michael Carrick dan Paul Scholes yang sudah berada di hujung kemuncak.
Berdasarkan senarai pemain terkini yang dimiliki Guardiola, De Bruyne sudah berusia 33 tahun, Kyle Walker (34), Mateo Kovacic (30), Gundogan (34), Bernardo Silva (30), dan Ederson (31) yang dilihat sudah tidak mampu memberikan sumbangan maksimum.
Bagaimanapun, tidak ada yang mampu menafikan peluang City kembali bangkit, namun mereka mencatat satu lagi kekalahan ketika menentang Aston Villa di Villa Park pada aksi kelmarin. -KOSMO! ONLINE















