SUARA riang ‘kanak-kanak’ berlari dan bergurau senda pada tengah malam sering mengganggu tidur Nasir (bukan nama sebenar).
Setiap kali lelaki berusia 45 tahun itu terjaga akibat suara itu, matanya pasti melirik ke arah jam di dinding untuk melihat waktu.
Seperti biasa jam di dinding akan menunjukkan pukul 3 pagi dan ia seakan-akan sudah menjadi rutin wajib bagi ‘kanak-kanak’ tersebut bermain.
Nasir yang tinggal di rumah pangsapuri lima tingkat itu mengesyaki bahawa ia merupakan suara anak jiran yang tinggal di atas rumahnya.
Menurut lelaki kelahiran Sabah itu, tahap kesabarannya sudah berakhir, dan dia nekad untuk menegur jirannya pada keesokan hari.
“Bayangkan, pukul 3 pagi pada setiap hari, tiba-tiba suara ketawa kanak-kanak riuh-rendah seperti pada malam raya.
“Sehari dua saya boleh tahan. Ini sudah berbulan buat perkara sama sahaja. Saya nekad untuk pergi tegur jiran di atas,” katanya.
Pada keesokannya, Nasir naik ke rumah jirannya untuk berbincang.
Setibanya di pintu rumah tersebut, Nasir terkejut melihat pintu rumah bernombor 515 itu terbuka sedikit dan tidak berkunci.
Nasir mengetuk pintu dan memberi salam, namun panggilannya tidak disahut oleh tuan rumah.
Tiba-tiba Nasir ternampak kelibat dua orang kanak-kanak sedang berlari di dalam rumah tersebut sambil ketawa.
Tidak mahu membuang masa, Nasir menolak pintu berkenaan, sebelum meninjau ke dalam rumah tersebut.
Ujarnya, keadaan rumah itu agak bersih dan kemas.
“Saya terkejut juga melihat keadaan rumah yang sangat teratur, biarpun suasananya agak malap kerana tingkap tertutup.
“Kanak-kanak yang berlari tadi tiada di ruang tamu, saya yakin mereka terkejut, lalu menyorok di dalam bilik,” katanya.
Tiba-tiba, Nasir ditegur oleh seorang lelaki berkopiah dan berjubah putih yang muncul secara tiba-tiba di belakangnya.
Lelaki itu memaklumkan bahawa dia merupakan tuan rumah bernombor 515.
Nasir terus menegur lelaki itu agar mengawal tingkah laku anak-anaknya pada waktu malam.
Tidak seperti yang disangka, lelaki itu hanya tersenyum tanpa berkata apa-apa, sebelum dia melangkah masuk ke dalam rumah.
Selepas melihat lelaki itu menutup pintu, Nasir tidak mampu lagi bersabar, lalu mula menggunakan kata-kata kesat.
Ujar Nasir, tindakan tersebut seperti memakan dirinya apabila gangguan kanak-kanak itu kemudian terasa semakin dekat.
“Selalunya, suara kanak-kanak pada pukul 3 pagi kedengaran dari atas rumah, sekarang saya rasa seperti di luar bilik tidur saya.
“Saya takut untuk keluar bilik. Namun seperti biasa, apabila azan subuh berkumandang, suara tersebut terus hilang,” ujarnya.
Sewaktu hendak ke tempat kerja, Nasir terserempak dengan jiran sebelah rumahnya, lalu berkongsi pengalaman misteri tersebut.
Alangkah terkejutnya Nasir apabila mendapat tahu bahawa rumah 515 sudah lama tidak berpenghuni.
Kejadian tersebut menyebabkan Nasir mula menumpang di rumah rakan sekerjanya selama sebulan, sebelum berpindah ke rumah sewa lain.
















