fbpx
JUN HAO dilihat semakin hampir kembali ke prestasi terbaik selepas muncul naib juara Kumamoto Masters bulan lalu

Badminton pasti bangkit lebih mantap untuk 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Lebih kurang dua minggu sahaja lagi kalendar 2024 akan menutup tirainya dengan kempen Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia bagi musim 2025 bakal memulakan aksi di Terbuka Malaysia bermula 7 hingga 12 Januari depan.

Jika menyingkap kembali prestasi pemain-pemain badminton kebangsaan sepanjang kempen 2024, banyak suka duka serta pahit jerih yang dapat kita saksikan dalam arena sukan badminton negara.

Antara pencapaian yang cukup membanggakan sepanjang saingan musim ini adalah di mana kem badminton negara berjaya merangkul dua pingat gangsa pada Sukan Olimpik Paris 2024 menerusi perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Selain itu, kebangkitan beberapa pemain lain seperti beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan beregu lelaki profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menyaksikan mereka muncul naib juara pada Jelajah Dunia Akhir 2024 minggu lalu.

Di sebalik kejayaan-kejayaan manis yang dicapai, masih ada pemain-pemain sedang menanti masa sesuai untuk ‘meletup’ dalam kejohanan-kejohanan tahun hadapan, termasuk skuad perseorangan lelaki kebangsaan.

Skuad perseorangan lelaki kebangsaan yang bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia dilihat agak ‘sepi’ untuk sebahagian besar saingan musim ini.

Ia ekoran masalah kecergasan yang membelenggu Ng Tze Yong selain Leong Jun Hao dan Justin Hoh masih berada dalam fasa untuk kembali menyesuaikan diri selepas lama berehat.

Meskipun Jun Hao menunjukkan peningkatan sedikit lewat ketika muncul naib juara Kumamoto Masters di Jepun bulan lalu, namun penulis menganggap ia satu perkara positif apabila ia mula menaikkan ‘mood’ dalam skuad perseorangan lelaki kebangsaan.

Apa tidaknya, kejayaan bekas juara remaja Asia itu membenam cabaran jaguh-jaguh dunia seperti pemain No.1 Jepun, Kodai Naraoka dan jaguh Indonesia, Jonatan Christie untuk ke final Kumamoto Masters sebelum tewas kepada Li Shi Feng dari China.

Jurulatih perseorangan lelaki negara, K. Yogendran berkata, beliau mengharapkan anak-anak buahnya menunjukkan peningkatan dan mengekalkan aksi konsisten, terutamanya banyak kejohanan penting tahun depan, termasuk Piala Sudirman.

“Saya mahu tengok semua pemain menunjukkan kebangkitan. Bagaimanapun, saya tidak meletakkan tekanan terlalu tinggi.

“Saya bersama Kenneth (Jonassen) dan Alvin (Chew) akan menggunakan apa yang kami ada bagi membantu pemain-pemain (perseorangan lelaki) ke satu tahap lebih tinggi, itu perkara paling penting,” katanya.

Dalam pada itu, perubahan struktur kejurulatihan di Akademi Badminton Malaysia turut diharap menjadi faktor kebangkitan skuad perseorangan lelaki yang akan diketuai bekas ketua jurulatih Denmark, Jonassen.

Jun Hao sendiri pernah menjelaskan bahawa dia sudah kembali berada di landasan sebenar meskipun rombakan struktur kejurulatihan sedikit menjejaskan fokus latihannya.

“Pertukaran jurulatih sebenarnya mengganggu fokus saya sehingga menampilkan aksi di bawah paras sebenar. Bagaimanapun, sekarang saya sudah menyesuaikan diri dan berada pada landasan terbaik,” ujarnya.

Kesimpulannya, kempen 2025 mungkin akan menjadi medan terbaik buat pemain-pemain perseorangan lelaki kebangsaan membuktikan kemampuan sebenar, dibantu kejurulatihan yang mantap.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN