fbpx
Gambar hiasan

Tiada duit berhibur, anak di rumah jadi ‘habuan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kes sumbang mahram semakin membimbangkan apabila jumlahnya terus meningkat setiap tahun dengan 996 kes dilaporkan sejak 2021 hingga Oktober lalu.

Lebih menjijikkan, ada kanak-kanak seawal usia di bawah enam tahun turut menjadi mangsa ahli keluarga terutama bapa kandung yang tergamak melakukan perbuatan terkutuk itu.
Kebanyakan kes berlaku di rumah sendiri apabila si pelaku mengalami ketagihan seks dan bahan pornografi serta mempunyai masalah kewangan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, trend peningkatan dapat dilihat sejak 2021 apabila sebanyak 245 kes dilaporkan.

Menurutnya, pada 2022 pula, sebanyak 264 kes direkodkan dan angkanya terus melonjak kepada 275 kes pada 2023 dan setakat Oktober tahun ini, sejumlah 212 kes.

“Apabila pelaku tidak memahami tanggungjawab mereka sebagai ketua keluarga atau penjaga, mereka gagal mengawal nafsu.

“Kebanyakan kes membabitkan kumpulan berpendapatan rendah dan tahap pendidikan lemah. Ibu bapa pula tidak berperanan mendidik anak-anak dari aspek agama, moral dan kasih sayang.

“Pelaku memilih untuk memenuhi nafsu di rumah sendiri dan anak menjadi mangsa kerana mereka tidak mempunyai wang untuk hiburan atau melanggan pelacur,” katanya ketika ditemu bual secara eksklusif bersama Kosmo!.

Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah

Menurut Siti Kamsiah, bapa kandung dikenal pasti sebagai pelaku utama dalam kes sumbang mahram apabila menyumbang hampir 60 peratus daripada keseluruhan kes.

Katanya, dalam tempoh 2021 hingga Oktober 2024, sebanyak 303 kes melibatkan bapa kandung, diikuti bapa tiri (297 kes) dan bapa saudara (164 kes).

“Mangsa utama jenayah ini adalah remaja berusia 13 hingga 15 tahun, mencatatkan 443 kes atau hampir separuh daripada keseluruhan 1,032 kes dalam tempoh tersebut, menjadikan kumpulan ini paling berisiko,” katanya.

Siti Kamsiah memberitahu, terdapat kes seorang mangsa sumbang mahram telah dimanipulasi oleh bapanya sejak kecil dengan menggunakan alasan hubungan tersebut ‘tidak salah’.

Ini kerana si pelaku mendakwa boleh memulihkan dara anaknya menerusi ilmu rawatan tradisional sehingga mangsa terus dinoda sehingga dewasa.

“Keadaan ini menyebabkan mangsa terperangkap dalam dilema, sehingga rakan-rakannya di sekolah menengah memberitahunya apa yang berlaku adalah salah.

“Bagaimanapun, atas dasar simpati terhadap bapanya, mangsa tidak melaporkan kejadian itu kepada mana-mana pihak.

“Akhirnya, ibu mangsa yang tidak tahan dengan situasi tersebut yang bertindak mengasingkan mangsa ke rumah perlindungan,” ujarnya.

Siti Kamsiah turut memaklumkan terdapat juga kes berulang melibatkan pelaku yang sama, malah sudah menjalani hukuman penjara.

“Ada kes seorang bapa yang telah dipenjarakan selama 16 tahun atas kesalahan merogol anak kandungnya dan selepas dibebaskan, dia kembali melakukan jenayah serupa terhadap cucunya pula,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan ketua komuniti seperti ketua kampung dan imam masjid, digesa lebih peka terhadap persekitaran mereka untuk mengenal pasti masalah yang berlaku dalam kalangan masyarakat setempat.

“Selain itu, di kawasan projek perumahan rakyat (PPR) dan golongan B40, PDRM menggunakan pendekatan khas seperti program outreach untuk mendekati kanak-kanak dengan lebih berkesan,” katanya.

Tegas beliau, usaha pencegahan hanya berjaya jika semua pihak bekerjasama dan memainkan peranan masing-masing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN