APABILA sebut mengenai perkampungan bunian, pasti ramai yang membayangkan kawasan kampung terpencil di dalam hutan tebal.
Begitulah keadaan persekitaran saat kenderaan yang dinaiki penulis menuju ke Warung Bunian Sungkak di Kampung Acheh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Tersorok daripada pandangan umum, pengunjung perlu melalui jalan gelap selama beberapa minit sebelum sampai ke sebuah kampung Melayu.
Lebih menambah rasa seram, warung yang dikendalikan oleh sebuah keluarga di Kampung Acheh itu beroperasi dari pukul 8 malam hingga 12 tengah malam.
Menurut pemiliknya yang mahu dikenali sebagai Mak Cik Bunian, warung tersebut pada asalnya dibuka sebagai tempat melepak orang-orang kampung pada musim pandemik Covid-19.
“Kami tidak merancang untuk membuka warung berniaga, tetapi semakin lama ramai yang melepak dan mereka mula memesan makanan.
“Kami tidak membuat sebarang promosi melalui mana-mana platform, tetapi tempat kami semakin terkenal menerusi cerita mulut ke mulut sehingga tular pada tahun lalu,” katanya.
Terdapat lima makanan signatur yang sering menjadi pilihan pelanggan warung tersebut iaitu nasi goreng bunian, nasi benz, mi kari kerang, mi bandung gam dan chicken chop versi bunian.

Nasi goreng bunian merupakan hidangan nasi goreng bersama telur dadar, sup ayam dan lauk campur seperti ayam, daging, tempe, lobak, bunga kubis serta kacang botol.
Nama bunian diletakkan pada menu tersebut kerana kebanyakan bahannya tersorok terutama nasi dan lauk campur.
Sekiranya mahu kelainan, pelanggan boleh memesan nasi benz iaitu nasi yang dihidangkan bersama ayam rangup disaluti sambal telur hancur.
Resipi ayam sambal telur hancur merupakan warisan keluarga Mak Cik Bunian yang tidak terdapat di tempat lain.
Mengulas mengenai mi kari secara umum, wanita berusia 49 tahun berkata, menu tersebut merupakan makanan kegemaran warga Kuala Pilah.
“Semua kedai masakan panas di Kuala Pilah, pasti ada hidang mi kari tidak kira sarapan pagi, makan petang atau malam.
“Kami juga tidak mengamalkan masakan ready made. Kami hanya masak apabila ada pesanan,” katanya.
Tambahnya, dia dan suami yang hanya mahu dikenali sebagai Tok Mail suka bereksperimen dalam mencipta cita rasa unik untuk setiap menu.
Sebagai contoh, chicken chop versi bunian bukan sahaja tidak menggunakan kentang dan tepung sedia ada, malah sosnya juga dibuat sendiri.
Bagi yang mahukan kudapan, anda boleh memesan tempe yang disaluti tepung dan digoreng rangup serta jemput-jemput ikan bilis.














