JOHOR BAHRU – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor menahan seorang pengurus dan seorang penyelia kilang kerana dipercayai terlibat dalam insiden pencemaran Sungai Buloh, di Pasir Gudang, di sini semalam.
Pengarah JAS Johor, Mohd. Famey Yusoff berkata, penahanan kedua-dua individu itu dibuat Seksyen 37C Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“JAS Johor menjalankan siasatan selepas menerima aduan awam berhubung pencemaran di Sungai Buloh, Pasir Gudang.
“Pemeriksaan dibuat mendapati terdapat efluen berwarna coklat dari sistem pengolahan efluen premis berasaskan oleo kimia di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang yang gagal berfungsi.
“Selain penahanan dua individu berkenaan, premis tersebut turut diberikan notis Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) bertujuan menghentikan pencemaran,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Famey, pensampelan efluen telah dibuat dan sampel diambil telah dihantar ke Jabatan Kimia di Petaling Jaya untuk tujuan analisis. – KOSMO! ONLINE