TUMPAT – Kebanyakan pelajar Malaysia di Syria memilih untuk tidak pulang ke tanah air berikutan bimbang tercicir daripada pengajian meskipun negara tersebut ketika ini berada dalam fasa peralihan kuasa.
Presiden Pertubuhan kebajikan, Muslim Care Malaysia (Muslim Care), Zulkifli Wahijan berkata, maklumat itu diperoleh selepas pihaknya berkomunikasi dengan beberapa pelajar Malaysia pada hari Presiden, Bashar al-Assad melarikan diri dari Syria.
Menurutnya, kebanyakan pelajar ketika ini tinggal di kawasan selamat di ibu kota, Damsyik.
“Sekumpulan pelajar memang tinggal di asrama yang disediakan oleh kerajaan Syria, manakala sebahagian lagi menyewa beberapa rumah di ibu kota itu.
“Boleh dikatakan mereka semua mengambil langkah untuk tidak keluar rumah seperti yang disarankan oleh kerajaan Syria dan juga kedutaan Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penerimaan dan Pengagihan Bantuan Banjir Felda Golden Ventures (FGV) Berhad di Dewan Bunga Raya, Pantai Seri Tujuh, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zulkifli memberitahu, pelajar Malaysia yang dihubungi turut memaklumkan bahawa kerajaan Syria dan Kedutaan Malaysia telah menasihatkan supaya mengelak daripada memasuk bandar al-Sayeda Zainab yang sering menjadi lokasi serangan.
“Mereka (pelajar Malaysia) juga sempat berkongsi video semasa serangan dan kejadian tembak-menembak, namun berpesan agar ia tidak disebar luaskan atas faktor keselamatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE