IPOH – Seorang guru penolong kanan kokurikulum dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan amang seksual fizikal ke atas muridnya yang berusia 12 tahun pada September lalu.
Tertuduh, Teh Chau Teik, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan itu di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.
Lelaki itu didakwa memeluk dan mencium mangsa di dalam bilik darjah berasingan di sebuah sekolah di sini pada pukul 6.40 pagi, 11 dan 26 September lalu.
Pertuduhan ke atas tertuduh yang masih bujang dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta yang sama.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu’aini Khalifah mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000 dikenakan ke atas tertuduh berserta syarat tambahan yang sesuai.
Namun peguam bela, S. Teeban Kummar memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin pada kadar minimum atas alasan lelaki itu menanggung ibu berusia 61 tahun dan tiga adik dengan pendapatan bulanan RM7,000. – KOSMO! ONLINE