SAYA menaiki penerbangan AirAsia pada pukul 8.35 pagi, tetapi tertangguh selama dua jam.
Akhirnya, saya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Velana (MLE), Maldives pada pukul 11 pagi.
Urusan saya di bahagian imigresen Maldives lancar dengan hanya beberapa soalan ditanya.
Antara soalan ditanya adalah bilangan orang yang ada bersama dan tempoh saya bercuti di situ.
Namun saya dengar, ada pengunjung yang perlu menunjukkan bukti tempahan hotel dan pelbagai dokumen lain. Konklusinya, pengalaman di imigresen Maldives mungkin bergantung kepada nasib.
Selesai urusan di imigresen, saya bertanya di kaunter mengenai bot laju (speedboat) ke Maafushi.
Staf kaunter menunjukkan ke arah dua lelaki dan wanita yang sedang memegang papan tanda ‘speedboard’ ke Maafushi.
Saya hanya perlu memberitahu nama kerana mereka sudah ada maklumat hotel penginapan para pengunjung.
Saya naik bot laju terus ke Maafushi yang memakan masa lebih kurang 30 minit perjalanan.
Setibanya di Maafushi, staf hotel sudah tunggu awal-awal untuk bawa ke hotel bagi urusan check in.
Saya ambil keputusan untuk berehat sebentar sebelum pusing-pusing di sekitar Maafushi.
Pada masa sama, saya mencari pakej selam snorkel (snorkeling) untuk keesokan harinya, sebelum makan malam di Tandoori Flames.
Pada keesokannya, saya jalan kaki ke tempat berkumpul untuk day trip selam snorkel pada pukul 9 pagi.
Lokasi pertama yang kami singgah adalah Mantaray sebelum ke ‘shark point’ untuk berenang bersama ikan jerung. Di lokasi ketiga, kami ke Pulau Fulidhoo untuk melihat ikan pari dan akhir sekali ke Pantai Sandbank bagi menikmati makan tengah hari.
Apabila sampai di Maafushi pada pukul 3.30 petang, saya balik hotel ke untuk berehat.
Pada waktu malam, saya makan di restoran Salmonia Seafood, sebelum lepak di Pantai Bikini dan pulang ke hotel pada lewat malam.
Keesokannya, saya sarapan pagi seawal pukul 6.30 pagi, sebelum staf hotel hantar ke jeti untuk menaiki feri ke Male City.
Tepat pukul 7.30 pagi, feri bergerak menuju ke Male City dengan perjalanan mengambil masa 1 jam 45 minit.
Dalam feri tidak ramai orang, jadi penumpang boleh baring atau tidur sementara hendak sampai ke destinasi.
Feri berhenti di Pulau Gulhi terlebih dahulu sebelum terus ke Male City.
Saya tiba di Male pada pukul 9.15 pagi. Saya terus berjalan ke food court berdekatan Masjid Al Sultan Mohamed bin Abdullah sementara menunggu masa untuk check in di Nap Corner hostel.
Pada pukul 3.30 petang, saya mengunjungi Sultan Park, pasar tempatan, pasar ikan dan bazaar cenderahati.
Kemudian, saya terus pergi makan malam di medan selera. Sebelum balik ke hostel, saya lepak sekejap di monumen Tsunami.
Selepas check out hostel pada pukul 6.30 pagi, saya terus jalan kaki ke lapangan terbang Male. Sampai di lapangan terbang, saya sarapan pagi seketika sebelum masuk ke ruang menunggu untuk pulang ke tanah air.
















