PETALING JAYA – Pelajar Malaysia di Syria berada dalam keadaan selamat dan kesemuanya ditempatkan di kampus masing-masing.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keselamatan mereka yang menjadi keutamaan sentiasa berada dalam pemantauan pihak berwajib.
“Mereka (pelajar) dalam keadaan selamat dan berada di kampus masing-masing.
“Konsul Kehormat Malaysia di Syria sentiasa memantau keadaan dan melaporkan terus kepada saya,” katanya kepada Kosmo!
Terdahulu, media melaporkan kumpulan pemberontak Syria telah berjaya menawan ibu kota, Damascus, sekali gus mengumumkan kejatuhan kerajaan pimpinan Bashar al-Assad.
Sementara itu, Bashar bersama keluarganya berlindung di Moscow selepas diberikan suaka atas dasar kemanusiaan oleh Russia.
Kementerian Luar Russia sebelum ini mengumumkan bahawa Bashar memutuskan untuk meletakkan jawatan dan meninggalkan Syria selain meminta supaya pelan peralihan kuasa berlaku secara aman.- KOSMO! ONLINE