PETALING JAYA – Sebahagian kedai runcit Aceh terus menjadi lubuk rokok seludup di Lembah Klang apabila ia bukan sahaja mudah didapati, malah dijual pada harga murah.
Antara modus operandi digunakan mereka bagi mengelakkan aktiviti haram itu dikesan pihak berkuasa dengan membuat tempahan rokok seludup melalui rakan senegara yang juga ‘tauke-tauke’ kedai runcit.
Terdapat rakan senegara mereka yang mempunyai talian dengan sindiket penyeludupan membawa masuk rokok seludup ke negara ini melalui laluan haram.
Bagi melicinkan lagi operasi, setiap pesanan tersebut turut dihantar rakan kongsi mereka ke kedai-kedai runcit Aceh menggunakan pelbagai jenis kenderaan.
Seorang pekerja kedai runcit dikenali Shamsul, 28, berkata, pesanan akan dibuat setiap hujung minggu dengan terdapat grup sembang kumpulan aplikasi WhatsApp sesama mereka.
“Tempahan bergantung kepada permintaan sesebuah kedai sebab ada kedai yang laju jualannya dan ada yang perlahan.
“Penghantaran pula tidak menentu waktunya termasuk menggunakan motosikal jika jumlah kuantiti tidak banyak yang diletakkan dalam box motor sahaja,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Kata Shamsul, penjualan rokok seludup boleh dikatakan sebagai penarik pelanggan dan pelengkap kepada sebahagian besar kedai runcit.
“Daripada hendak beli rokok sahaja, kemudian beli air dan lain-lain lagi. Jadi, ini satu kelebihan kepada peniaga dan pelanggan pula tidak perlu ke kedai lain.
“Ramai pelanggan datang membeli pada waktu pagi ketika mereka hendak pergi bekerja,” ujarnya.
Hasil tinjauan Kosmo! di beberapa buah kedai runcit Aceh mendapati, tiada kata laluan khas bagi penjualannya dan hanya perlu menyebut jenis rokok seludup ingin dibeli.
Malah, ada peniaga pernah dikompaun berulang kali, namun masih tidak serik susulan keuntungan diperoleh sehingga RM2 bagi sekotak rokok seludup.

Seorang peniaga mahu dikenali seabagai Aliman, 35, berkata, dia telah tiga tahun berniaga rokok seludup dengan jumlah kompaun diterima berjumlah RM6,000 setakat ini.
Katanya, jenama rokok seludup yang laris adalah mengikut kawasan-kawasan dan selera pembeli.
“Permintaan masih tinggi walaupun rokok jenis Dblend merah contohnya naik 50 sen menjadi RM8.50 sejak tiga bulan lalu.
“Bagi pembeli, harga itu dirasakan masih berpatutan berbanding rokok sah yang mencecah belasan ringgit,” ujarnya.
Lelaki itu turut memaklumkan untung bagi sekarton rokok pula antara RM10 hingga RM15 dan penyeludup biasanya menghantar barangan itu seminggu sekali setelah mendapat tempahan daripada peniaga.
“Tiada masa tetap bergantung kepada runner, tetapi saya akui kadangkala terputus juga bekalan sebab operasi penguatkuasaan banyak sekarang,” ujarnya.
Seorang peniaga lain mahu dikenali Agam, 40, pula tidak menolak kemungkinan harga rokok seludup juga akan meningkat jika operasi pihak berkuasa dipertingkatkan lagi.
“Namun, saya rasa kenaikan harga rokok seludup tidak banyak, masih lagi murah berbanding rokok yang sah,” katanya.















