fbpx

Hujan lebat, cuaca lembab dijangka berterusan di seluruh negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan cuaca lembab yang berterusan di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah, dan Sarawak sehingga petang ini.

Menurut MetMalaysia, keadaan cuaca hujan lebat kini berlaku di bahagian timur Semenanjung, terutamanya di negeri Pahang dan Johor.

“Hujan ini turut menyebabkan limpahan hujan yang memasuki bahagian barat Semenanjung, melibatkan negeri Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, serta barat Johor yang mengalami cuaca lembab dan mendung,” katanya.

Di utara Semenanjung Malaysia, keadaan mendung dilaporkan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, dan sebahagian besar negeri Perak, dengan hujan yang reda ketika ini.

Manakala di Kelantan pula, hujan masih berlaku di pesisir pantai berikutan adanya kelompok awan hujan yang memasuki kawasan negeri itu.

MetMalaysia meramalkan bahawa keadaan cuaca lembab ini dijangka berterusan sehingga ke awal petang, dengan kawasan pedalaman serta bahagian utara dan pantai barat Semenanjung Malaysia turut terlibat. Keadaan hujan di kawasan timur dijangka masih berterusan sehingga petang.

Bagi negeri Sabah dan Sarawak, cuaca yang agak mendung dan kurang hujan kini berlaku di kebanyakan kawasan. Hujan dijangka berlaku di beberapa tempat di bahagian Kapit, Sarawak, serta di Kudat, Sabah, namun cuaca dijangka akan beransur reda dalam masa terdekat.

“Di Sarawak, cuaca lembab akan tertumpu di bahagian selatan, tengah, dan pedalaman menjelang petang, manakala di Sabah, ia dijangka melibatkan kawasan Kudat, Pantai Barat, dan pedalaman pada sebelah petang,” tambahnya.

Orang ramai dinasihatkan untuk berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga terhadap kemungkinan banjir kilat, tanah runtuh, dan pokok tumbang berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI