fbpx
Banjir besar yang berlaku di kawasan Pantai Timur pada masa ini dikaitkan dengan Monsur Timur Laut yang diperkuat dengan aktiviti La NIna.

Tujuh episod luruan Monsun Timur Laut perlu diharungi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA ini bencana banjir besar sedang melanda negeri-negeri di Pantai Timur sehingga menyebabkan ramai mangsa banjir terpaksa berpindah dan banyak harta benda rosak ditenggelami air.

Malah, kerajaan juga meramalkan bencana banjir kali ini dijangka lebih teruk berbanding ‘bah kuning’ pada tahun 2014.

Bagi membincangkan tentang fenomena banjir yang sedang melanda negara ketika ini, wartawan Kosmo! Ahad, FARID AHMAD TARMIJI berkesempatan menemu bual Felo

Penyelidik yang juga Pensyarah Kanan di Institut Perubahan Iklim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Gs. Dr. Ricky Anak Kemarau baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Baru-baru ini banjir besar berlaku beberapa negeri di Semenanjung Malaysia terutama di Pantai Timur. Boleh Dr. jelaskan mengapa fenomena banjir besar ini berlaku?
DR. RICKY: Monsun Timur Laut adalah punca utama hujan lebat yang berlaku antara November hingga Mac setiap tahun di negeri-negeri di Pantai Timur yang menyebabkan kawasan ini menerima hujan maksimum.

Sistem cuaca monsun terbentuk bersama dengan luruan udara sejuk dari (hemisfera utara) Siberia dan China. Luruan monsun ini bergerak ke hemisfera selatan dan menyebabkan kawasan Pantai Timur menerima hujan yang lebih tinggi sehingga boleh menyebabkan fenomena banjir.

Selain itu, El Nino Southern Oscillation (ENSO) neutral sedang berlaku dengan suhu dalam keadaan biasa di lautan Pasifik.

Bagaimanapun berdasarkan Jabatan Meteorologi Malaysia, berkemungkinan besar La Nina muncul pada Oktober hingga Disember dan dijangka berterusan sehingga Januari hingga Mac 2025.

Secara tidak langsung, La Nina memperkuat kesan aktiviti Monsun Timur Laut, meningkatkan kelembapan atmosfera dan intensiti hujan.

La Nina dapat meningkatkan jumlah hujan di Asia Tenggara 20 hingga 30 peratus bergantung kekuatan skalanya.

Selain itu, Madden-Julian Oscillation (MJO) menjadi aspek yang menyumbang kejadian banjir ini.

MJO terbahagi lapan fasa di mana setiap fasa merujuk kepada lokasi utama aktiviti konveksi atau ribut dan hujan lebat. Benua Maritim termasuk Malaysia berada pada fasa tiga dan empat dan konveksi MJO memuncak dan kesannya beri kelembapan tinggi serta peningkatan aktiviti ribut petir.

Pada November 2024, aktiviti MJO berada di fasa tiga dan empat yang secara langsung meningkatkan hujan lebat di Malaysia semasa Monsun Timur Laut bawa risiko banjir besar.

Rajah menunjukkan cuaca ekstrem 2002-2021 daripada satelit NASA dengan merah melambangkan ekstrem kering
dan biru ekstrem basah (banjir).

Kebiasaannya berapa lama masa yang diperlukan untuk keadaan kembali pulih seperti biasa setelah fenomena banjir besar ini berlaku?
Selepas episod hujan lebat yang dipacu luruan monsun, cuaca biasanya kembali stabil apabila tekanan atmosfera di kawasan Siberia berkurangan. Terdapat tujuh luruan dan biasanya berlaku dari bulan November hingga Mac.

Luruan monsun awal berlaku pada November dan beri hujan lebat berterusan selama dua hingga tiga hari yang menyebabkan banjir di kawasan rendah dan kawasan terjejas adalah di Pantai Timur.

Luruan kedua akhir November hingga awal Disember dengan hujan lebat tempoh lebih panjang dan menyebabkan limpahan sungai utama dan banjir besar di kampung dan bandar.

Luruan ketiga pada pertengahan Disember dan cirinya adalah kebarangkalian angin kencang Siberia mempercepat aliran monsun dan menyebabkan banjir kilat yang meluas dan angin kencang di kawasan Pantai Timur dan Selatan yang melibatkan negeri Johor dan Pahang.

Luruan keempat di akhir Disember juga berpotensi memberi risiko banjir di Pantai Timur, selatan Semenanjung dan Sabah khususnya kesan maksimum daripada tekanan tinggi di Siberia yang membawa hujan.

Luruan kelima di awal Januari dan keenam pada pertengahan Januari, penurunan keamatan hujan tetapi masih berterusan di kawasan Pantai Timur dan kawasan pedalaman.

Luruan terakhir, ketujuh pada akhir Januari hingga Februari adalah episod terakhir sebelum Monsun Timur Laut berakhir. Ketika ini penurunan intensi hujan berlaku tapi angin kencang masih berlaku di kawasan pantai.

Pada 2014 telah berlaku satu banjir besar di kawasan Pantai Timur terutama di Kelantan, selepas 10 tahun kejadian banjir besar itu kembali berlaku. Boleh Dr. jelaskan tentang fenomena banjir besar yang berlaku di kawasan itu pada ketika ini, kenapa kitaran banjir berskala besar boleh berlaku pada setiap 10 tahun sekali?
Sebenarnya ENSO termasuk La Nina, memainkan peranan penting dalam mempengaruhi corak hujan di Malaysia.

La Nina yang membawa peningkatan kelembapan dan hujan ekstrem sering dikaitkan dengan banjir besar terutamanya di Pantai Timur dalam konteks 2024.

Kajian menunjukkan bahawa episod La Nina berlaku dalam purata setiap tiga hingga tujuh tahun.

Tetapi kejadian yang lebih intensiti, seperti pada tahun 2014 dan 2024, mungkin mengikuti kitaran dekadal (10 tahun) apabila dipengaruhi oleh faktor klimatologi lain seperti Indian Ocean Dipole (IOD).

Dalam konteks 2014, IOD negatif menyumbang kepada jumlah hujan di Semenanjung Malaysia.

Fasa IOD negatif menyebabkan berlakunya lebih banyak hujan daripada normal.

Malah, berdasarkan pemerhatian utama banjir besar di Kelantan pada tahun 2014 berlaku semasa MJO berada di fasa tiga dan empat di mana aktiviti konveksi sangat aktif di kawasan Benua Maritim.

Gabungan MJO yang aktif dengan Monsun Timur Laut menghasilkan curahan hujan yang luar biasa tinggi, menyebabkan risiko banjir yang sangat tinggi.

Berbanding sebelum-sebelum ini, kini Malaysia lebih mudah terdedah fenomena cuaca yang jarang berlaku se­perti puting beliung kecil, belalai air, ribut petir luar biasa kuat dan gelombang haba disifatkan fenomena cuaca baharu yang mula kerap melanda negara. Mengapakah fenomena ini berlaku?
Pemanasan global dan peningkatan suhu permukaan laut antara punca utama kepada fenomena ini.

Pemanasan global yang disebabkan oleh peningkatan gas rumah kaca (GHG) di atmosfera telah meningkatkan suhu purata global sebanyak 1.1 darjah Celsius sejak era praindustri.

Di Malaysia, suhu purata meningkat. Contohnya di Semenanjung, peningkatan 0.24 darjah Celsius per dekad dengan pelbagai faktor sama ada semula jadi atau kesan aktiviti manusia antara penyebab.

Kesannya ia meningkatkan kadar penyejatan, membawa lebih banyak kelembapan ke atmosfera dan memperkuatkan ribut petir serta kejadian belalai air.

Selain itu, urbanisasi dan pulau haba bandar (Urban Heat Island – UHI) juga mencetus fenomena ini.

Urbanisasi pesat di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor menyebabkan fenomena pulau haba bandar, di mana suhu bandar lebih tinggi daripada kawasan luar bandar.

Kajian juga menunjukkan bandar besar di Malaysia mengalami peningkatan suhu harian purata sebanyak 1 hingga 3 darjah Celsius lebih tinggi daripada kawasan luar bandar.

Kesan berdasarkan kajian terkini mendapati perubahan iklim menyebabkan peningkatan kekerapan dan kekuatan fenomena seperti ENSO dan IOD khususnya.

Sejauh mana perubahan iklim global telah beri kesan kepada intensiti dan kekerapan cuaca ekstrem hingga menyebabkan fenomena jarang berlaku terjadi?
Benar perubahan iklim telah terbukti memberi kesan besar terhadap intensiti dan kekerapan fenomena cuaca ekstrem termasuk fenomena yang jarang berlaku seperti banjir besar, gelombang haba, puting beliung kecil dan belalai air.

Pemanasan global meningkatkan kejadian cuaca ekstrem dan data daripada IPCC (AR6) menunjukkan bahawa suhu purata global telah meningkat sebanyak 1.1 darjah Celcius sejak era praindustri. Peningkatan ini menambah jumlah tenaga yang tersedia dalam sistem atmosfera menyebabkan cuaca ekstrem menjadi lebih kerap dan kekuatan bertambah.

Ini akan memberi kesan pada atmosfera di mana udara yang lebih panas mampu menampung lebih banyak wap air dan meningkatkan risiko hujan lebat yang menyebabkan banjir kilat dan fenomena cuaca lain.

Perubahan iklim juga memberi kesan pada fenomena cuaca di Malaysia. Kajian juga menunjukkan kejadian hujan ekstrem di Malaysia telah meningkat sekitar 20 hingga 30 peratus dalam 50 tahun terakhir.

Ini disebabkan oleh peningkatan kelembapan atmosfera yang berkait dengan suhu laut yang lebih tinggi di Laut China Selatan.

Selain itu, kekerapan gelombang haba di Malaysia meningkat sejak beberapa dekad terakhir. Malah, pada 2023, suhu di beberapa kawasan mencatat rekod hingga 41 darjah Celsius terutama di kawasan bandar disebabkan kesan pulau haba bandar di samping kesan pemanasan global.

Apakah langkah boleh diambil bagi menangani masalah cuaca ekstrem sehingga membawa banjir besar ini daripada terus berlaku pada masa hadapan?
Untuk menangani masalah cuaca ekstrem yang menyebabkan fenomena seperti banjir besar, pelbagai langkah mitigasi dan adaptasi perlu diambil.

Langkah-langkah ini melibatkan tindakan pada peringkat tempatan, nasional dan global, dengan fokus kepada aspek pemuliharaan alam sekitar, pengurusan infrastruktur serta penggunaan teknologi moden.

Antara strategi boleh diambil adalah dengan mengurangkan risiko perubahan iklim melalui pengurangan pelepasan karbon. Kita perlu menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan angin serta meningkatkan kecekapan tenaga dalam sektor perindustrian, pengangkutan dan domestik.

Selain itu, pemulihan dan pemeliharaan ekosistem perlu dilaksanakan seperti penanaman semula hutan. Kita perlu galakkan penanaman semula kawasan hutan yang telah ditebang terutama di kawasan hulu sungai. Liputan hutan yang mencukupi meningkatkan kapasiti tanah untuk menyerap air, mengurangkan risiko banjir.

Pemeliharaan tanah lembap juga boleh dilakukan kerana langkah ini melindungi ekosistem tanah lembap seperti paya yang bertindak sebagai kawasan penampan semula jadi untuk air hujan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN