fbpx
Alat solek seperti gincu dan bedak murah dengan kandungan meragukan boleh memberi kesan termasuk alahan kepada kanak-kanak.

Kosmetik murah ‘beracun’ ancam kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Trend kanak-kanak berdandan ketika ini mendorong segelintir ibu bapa membeli produk kosmetik murah serendah RM2 bagi memenuhi kehendak golongan itu untuk kelihatan cantik seperti individu dewasa.

Kandungan bahan kimia tinggi seperti merkuri, paraben, hydrokinon, pewarna tiruan dan pewangi sintetik di dalam alat solek tersebut dikhuatiri boleh memberi kesan terhadap kulit kanak-kanak termasuk alahan selain terdedah risiko penyakit berbahaya untuk jangka masa panjang.

Tinjauan Kosmo! Ahad di beberapa kedai serbaneka di sekitar Lembah Klang mendapati alat solek seperti gincu, pembayang mata dan bedak dijual pada harga RM2 hingga RM5 satu set.

Dalam sejam, produk kosmetik itu dibeli dua pelanggan yang merupakan kanak-kanak.

Apabila ditanya, mereka memaklumkan membeli barangan kosmetik itu kerana mahu kelihatan cantik seperti ibu, selebriti wanita selain terpengaruh dengan lambakan video cara bersolek di media sosial.

Pakar perubatan, Dr. Ahmad Samhan Awang berkata, penggunaan alat solek murah dengan kandungan meragukan boleh menyebabkan iritasi, alahan, kulit kering atau jerawat pada wajah anak kecil.

“Risiko paling besar adalah alat kosmetik ini boleh mero­sakkan lapisan pelindung kulit kanak-kanak (stratum corneum).

“Sekiranya ada kandungan logam berat seperti merkuri atau timah, ia boleh mengganggu perkembangan otak. Selain itu, kandungan bahan kimia ter­tentu dalam kosmetik juga boleh mengganggu hormon atau menyebabkan masalah pernafasan sekiranya dihidu,” katanya kepada Kosmo! Ahad.

Menurut Dr. Ahmad Samhan, kulit kanak-kanak sensitif dan belum cukup ‘matang’ untuk menerima bahan kimia di dalam kos­metik.

“Jika hendak guna sekalipun sekadar untuk suka-suka dan sementara, ibu bapa harus memastikan produk (solekan) khas digunakan untuk wajah anak mereka,” katanya.

Lebih menakutkan, Dr. Ahmad Samhan memberitahu, kesan penggunaan alat solek murah yang mengandungi bahan berbahaya juga mengundang risiko penyakit paling ditakuti ramai iaitu kanser, kerosakan buah pinggang, keradangan, sopak dan leukoderma.

Jelas beliau, jenis alat solek yang paling berisiko kepada kanak-kanak adalah gincu, pembayang mata dan bedak tabur.

“Gincu mudah tertelan, manakala pembayang mata pula boleh menyebabkan iritasi kepada mata dan bedak tabur pula terdiri daripada partikel halus yang boleh memasuki saluran pernafasan.

“Lebih-lebih lagi alat solek murah di kedai serbaneka keba­nyakannya tiada kawalan kualiti, jadi tidak selamat,” katanya.

Sementara itu, seorang wanita dikenali sebagai Syaf, 40, meng­akui anak tunggalnya yang berusia lima tahun mengalami bengkak kemerah-merahan dan gatal pada wajah selepas penggunaan alat solek murah.

“Saya beli alat solek murah, sebab ingat tidak bahaya. Selepas hampir dua minggu penggunaannya, anak saya mula menunjukkan alahan sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital pada Januari lalu.

“Badan anak saya naik ruam. Saya rasa sangat bersalah di­sebabkan kecuaian saya hampir ‘membunuh’ anak sendiri.

“Saya fikir ia (produk) selamat, rupa-rupanya selepas mendapat penerangan daripada doktor, kandungan alat solek tersebut ternyata berbahaya kepada anak saya,” kongsinya.

Seorang lagi ibu yang mahu sebagai Azmah, 38, mendedahkan, dia memilih alat kosmetik murah untuk anak perempuannya yang berusia 10 tahun bagi menjimatkan kos.

“Sejak anak berusia dua tahun dia sudah mula menunjukkan minat bersolek kerana gemar bermain gincu. Pada mulanya saya tidak ambil kisah, lama-kelamaan dia sudah pandai meminta untuk disolekkan.

“Ada kalanya dia cuba berdandan sendiri sehingga beberapa barangan kosmetik milik saya rosak,” katanya.

Pegawai pemasaran itu memberitahu, dia kemudian membelikan set alat solek di kedai serbaneka untuk kegunaan anaknya tanpa menyedari risiko pada hari mendatang.

“Beli RM10 dapat dua tiga jenis alat solek, jimat. Video cara berdandan mudah dicari di TikTok dan Instagram,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN