GEORGE TOWN – Universiti Awam (UA) disarankan agar membuka ruang kerjasama lebih erat dengan pihak industri terutamanya dalam bidang teknologi tinggi bagi memenuhi keperluan semasa negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu penting bagi memastikan wujudnya sinergi antara pihak industri dan universiti untuk meneroka disiplin ilmu baharu khususnya dalam industri semikonduktor.
“Universiti perlu memberi ruang secukupnya kepada pihak industri untuk bekerjasama secara lebih agresif.
“Penyesuaian perlu dilakukan dari semasa ke semasa, namun cara terbaik untuk mendidik, melatih, meningkatkan kemahiran dan memperbaharui kemahiran adalah melalui sinergi antara industri dan institusi pendidikan,”katanya ketika berucap merasmikan inisiatif Penang Silicon Design @5km+ di sini hari ini.
Menurut Anwar, langkah itu juga selaras dengan kedudukan Pulau Pinang sebagai hab semikonduktor serantau dan memenuhi keperluan negara yang memerlukan jurutera berkelayakan dalam industri berteknologi tinggi termasuk industri reka bentuk litar bersepadu (IC).
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia mempunyai dasar yang jelas dan kestabilan politik yang memudahkan negara menarik pelaburan asing.
Namun, katanya, cabaran utama adalah memastikan ekosistem pelaburan dilengkapi infrastruktur asas dan tenaga kerja berkemahiran tinggi. – KOSMO! ONLINE