GUA MUSANG – Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal yang dia tunggang hilang kawalan sebelum merempuh besi penghadang jalan di Kilometer 3, Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Bandar Utama sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 1 pagi itu, mangsa, Abdul Aziz Shah Mohamed, 19, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala selain luka di perut.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS 50 dalam perjalanan dari arah Kuala Krai menghala ke Gua Musang.
Katanya, setibanya di lokasi kejadian, motosikal mangsa yang melalui laluan selekoh dipercayai terbabas dan merempuh besi penghadang jalan.
Ekoran pelanggaran itu, mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan parah di kepala serta luka di perut. Mayatnya dihantar ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat. – KOSMO! ONLINE