KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) telah menghantar 1,000 pek bantuan keperluan asas dihantar ke lima lokasi terjejas akibat banjir baru-baru ini terutamanya di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Menerusi satu kenyataan, BN berkata, bantuan itu termasuk 400 sukarelawan yang akan turut serta dalam misi bantuan tersebut termasuk 100 pelajar dari UMNO Siswa dan dibantu oleh pemuda, wanita, dan puteri BN.
“Misi bantuan ini melibatkan pelbagai bentuk logistik, termasuk tujuh buah kenderaan pacuan empat roda, dua van, 15 lori, dan sebuah treler yang membawa barang-barang keperluan seperti makanan, minuman, pakaian, dan peralatan kebersihan.
“Bantuan tersebut akan disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir di kawasan-kawasan yang terjejas di Kelantan, Terengganu, dan Kedah,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, upacara pelepasan misi bantuan ini diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas Ke-50 Barisan Nasional dan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, skuad sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat ini bertugas untuk mengagihkan bantuan dan memberi sokongan kepada mangsa banjir yang terjejas.
“Misi bantuan Barisan Nasional ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan parti untuk meringankan beban mangsa banjir, serta memastikan bantuan sampai ke tangan yang memerlukan dengan cepat dan berkesan.
“Dengan semangat perpaduan dan kerjasama, skuad misi bantuan BN berharap dapat memberikan sedikit keringanan kepada mangsa yang sedang berhadapan dengan ujian berat akibat banjir,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE