BULI bukanlah satu isu yang baharu dalam senario sosial di Malaysia, malah ia telah acap kali berlaku sehingga meragut nyawa insan yang tidak berdosa.
Walaupun perbuatan ini dikecam masyarakat dan juga dipandang serius oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sendiri, namun ia masih belum bertemu titik penyelesaian sepenuhnya.
Paling mendapat perhatian apabila ia melibatkan pelajar sekolah serta universiti.
Generasi sekarang banyak terdedah dengan pengaruh buli kerana akses yang mereka ada di internet dan dunia media sosial.
Hari ini, buli bukan sekadar diwarisi menerusi tradisi di institusi, tetapi juga boleh dipelajari daripada pelbagai sumber terutama apa yang dilihat secara visual.
Kerana hal ini wujud kebimbangan tentang filem Kahar: Kapla High Council yang disifatkan sebagai tidak wajar ditayangkan dan dilihat kurang sensitif, terutamanya selepas beberapa tragedi berkaitan kes buli yang menjadi perhatian di media massa serta mencetuskan keresahan awam.
Hal ini disuarakan Presiden dan Pengasas badan bukan kerajaan (NGO) Empati, Syahida Zulkarnain, yang melihat filem tersebut memaparkan babak pelajar meraikan ‘perlawanan’ dan ‘ragging’ sehingga menjadikan aksi berkenaan kemuncak yang dinanti-nantikan.
“Babak seperti ini secara tidak langsung mengangkat budaya buli sebagai sesuatu yang ‘hebat’ atau normal.
“Kita tidak mahu babak-babak sebegini menular ke alam realiti, sama ada di peringkat persekolahan mahupun institusi pengajian tinggi.
“Ia boleh mencetuskan kesan negatif terhadap pembentukan nilai dalam kalangan belia kita, yang seharusnya membenci buli, bukan mengagungkannya,” katanya.
Kongsinya lagi, pihaknya bukanlah menolak mesej buli untuk sebuah nashkah filem, tetapi glorifikasi budaya buli, terutama dengan menonjolkan pembuli sebagai ‘hero’ tidak wajar diterima, lebih-lebih lagi apabila kesan trauma buli masih menghantui keluarga mangsa.
Beliau juga menzahirkan pelbagai persoalan, jika benar filem tersebut mahu memberi pengajaran mengenai kesan buli, mengapa ia hanya ditujukan kepada penonton berusia 18 tahun ke atas?
Bukankah golongan remaja yang lebih muda, iaitu kumpulan sasaran utama pembuli dan mangsa buli, yang paling memerlukan mesej ini?
Adakah had umur ini mencerminkan mesej sebenar yang ingin disampaikan, atau sekadar untuk mematuhi garis panduan tanpa mempertimbangkan impaknya kepada masyarakat?
Semua persoalan ini adalah suara-suara sebahagian masyarakat yang bimbang akan impak secara tidak langsung yang bakal berlaku hasil kepada kandungan filem tersebut.
Walaupun sebuah filem mungkin tidak mengubah sistem secara langsung, ia berupaya membentuk persepsi masyarakat, mencipta naratif yang salah atau lebih parah, memberi inspirasi kepada individu berisiko untuk menjadi pembuli.
Ini berikutan sebuah ketakutan yang mencengkam harapan pelajar dan ibu bapa, mampu memberi kesan jangka panjang kepada kesihatan mental dan meninggalkan luka emosi yang sukar disembuhkan.
Buli bukanlah isu yang boleh dipandang ringan, apatah lagi dijadikan bahan hiburan yang diagung-agungkan.














