LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengakui bangga dengan barisan pemain yang berjaya mempamerkan aksi dominan untuk menewaskan seteru, Manchester United 2-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, skuad The Gunners meraih tiga mata berharga hasil jaringan Jurrien Timber dan William Saliba menerusi situasi set-piece sekali gus menyaksikan rekod kebal mereka menentang United terus kekal apabila meraih empat kemenangan berturut-turut.
Menurut Arteta, kepakaran The Gunners menggunakan situasi set-piece semakin menyerlah kerana itu adalah sebahagian daripada cara terbaik untuk mendapatkan gol selain serangan secara terbuka.
“Saya rasa jentera serangan kami cukup berbahaya, tetapi ia menjadi satu kelebihan apabila kami berjaya mendapatkan gol menerusi cara yang lain (set-piece).
“Kita boleh menjaringkan banyak gol hasil gerakan terbuka seperti yang dilakukan sewaktu menentang West Ham dan Sporting Lisbon baru-baru ini, namun saya gembira kali ini kita meraih dua gol menerusi situasi set-piece,” katanya.
Sementara itu, Arteta turut memuji mentaliti pemain yang kembali berada pada tahap sebenar selepas mengharungi bulan yang hambar pada Oktober lepas apabila melakar empat kemenangan berturut-turut.
“Saya puas melihat keinginan pemain untuk mencari kemenangan tetapi dalam masa yang sama saya tidak mahu mereka mendabik dada kerana fokus adalah untuk teruskan momentum ketika menentang Fulham minggu ini,” katanya. – AGENSI