fbpx

2 beradik makan rezeki haram, kutip derma bina sekolah tahfiz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA polis menahan remaja warga asing dan lelaki tempatan selepas disyaki mendalangi sindiket mengutip derma kononnya bertujuan membina sekolah tahfiz di Songkla, Thailand sejak lima tahun lalu.

JOHOR BAHRU – Kegiatan dua beradik melakukan penipuan dengan mengutip derma kononnya bagi membiayai pembinaan sekolah tahfiz anak yatim di Songkla, Thailand selama lima tahun lalu terbongkar selepas mereka diberkas di Ulu Tiram di sini.

Suspek lelaki berusia 54 dan 47 tahun itu ditahan dalam operasi pada pukul 11 pagi kelmarin di sebuah premis yang dijadikan tempat tinggal.

Dua beradik itu turut merekrut warga asing dan warga emas untuk dijadikan sebagai pengutip derma.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, dalam serbuan sama, pihaknya menyelamatkan seorang lelaki tempatan dan lima lelaki asing berusia 21 hingga 70 tahun dipercayai dijadikan pengutip derma oleh sindiket tersebut.

“Dua suspek itu merupakan ketua sindiket kutip derma dan mereka disyaki berperanan sebagai pemandu serta perancang kegiatan tersebut.

“Siasatan awal mendapati sindiket itu bergiat aktif sejak pertengahan 2019 dan menjadikan Johor Bahru, Seri Alam, Kulai, Ayer Hitam dan Simpang Renggam sebagai lokasi sasaran,”katanya dalam kenyataan di sini.

Kumar berkata, pihaknya merampas dua buah kenderaan, enam tabung tertera tulisan sumbangan ikhlas untuk pembinaan sekolah tahfiz anak-anak yatim dan fail berisi salinan surat pelantikan wakil memohon sumbangan ikhlas yang menggunakan kepala surat didakwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Jabatan Agama Islam Johor (JAINJ).

Polis turut merampas empat keping gambar pembinaan sebuah madrasah, sembilan buah telefon bimbit, 10 keping resit penghantaran wang, cap atas nama madrasah dan wang tunai RM9,158.

“Modus operandi sindiket adalah dengan memperdaya orang ramai untuk mempercayai bahawa kutipan derma akan digunakan untuk membiayai sekolah tahfiz anak-anak yatim di Songkla,” katanya.

Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif ketamin. Mereka direman selama tujuh hari hingga Selasa depan untuk siasatan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

Kes turut disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Seksyen 3(2) Akta Pungutan Rumah ke Rumah dan Jalanan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, kesemua mangsa yang diselamatkan pula kini ditempatkan di rumah perlindungan selepas permohonan perintah perlindungan sementara selama 21 hari dibenarkan majistret.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI