Pokwe tenang berada di rumahnya yang masih terapung berikutan banjir melanda Kampung Batu 16, Tebak, Kemaman semalam.

Orang lain pindah, Pokwe kekal di rumah terapung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEMAMAN – Sewaktu penduduk lain terpaksa berpindah selepas kediaman dinaiki air, sepasang suami isteri kekal tenang di rumah terapung yang dibina mereka khas menghadapi musim tengkujuh di Kampung Batu 16, Tebak di sini.

A. Bakar Che Ahmad, 69, atau lebih mesra dipanggil sebagai Pokwe berkata, kediaman yang dinamakan ‘rumahku, rakitku’ seluas 6.50 meter persegi itu mula kembali terapung sejak Selasa lalu berikutan limpahan Sungai Tebak berhampiran.

“Saya sedar rumah saya mula terapung perlahan-lahan pada pukul 4 petang, Selasa minggu lalu ketika hujan sangat lebat dan berlaku limpahan air dari hulu sungai.

“Sepanjang tempoh hampir seminggu ini, rumah saya paling tinggi terapung pada kedudukan kira-kira 3 meter dan kini ia semakin menurun ekoran paras banjir kian surut,” katanya ketika ditemui di Kampung Batu 16, Tebak di sini semalam.

Sebelum ini, Pokwe membina rumah terapung menggunakan tong plastik de­ngan kos RM50,000 sebagai inisiatif mengelakkan rumahnya ditenggelami banjir musim tengkujuh pada dua tahun lalu.

Bekas pemandu lori itu mendapat inspirasi membina rumah terapung terbabit daripada kejayaan menghasilkan reban ayam terapung menggunakan meka­nisme hampir sama pada 2019.

Katanya, dia melakukan persediaan awal menyelenggara rumah terapungnya seawal Oktober sebagai persiapan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

Jelas bapa tujuh anak itu, dia menukar tiang penyokong yang dipasang pada bahagian kiri dan kanan dengan saiz lebih besar bagi memastikan rumah tidak hanyut walaupun berdepan arus deras.

“Saya juga menambah 25 tong plastik menjadikan semuanya berjumlah 94 buah dipasang pada bahagian bawah rumah.

“Ia berfungsi sebagai pelampung yang boleh menampung beban sehingga 15 tan metrik sekaligus menstabilkan struktur rumah sepanjang terapung di dalam banjir,” katanya.

Pokwe berkata, pembinaan rumah terapung itu bukan sahaja memastikan mereka sekeluarga tidak perlu berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) malah menyelamatkan harta-bendanya daripada musnah ditenggelami banjir.

Dia berkata, rumahnya sering menjadi perhatian ramai termasuk pengamal media dan pelancong asing sejak kali pertama berjaya diapungkan pada musim tengkujuh 2022.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN