fbpx
Martin muncul pelumba satelit pertama berjaya merangkul gelaran juara dunia MotoGP 2024. - AFP

MotoGP 2025 janjikan pertarungan hangat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERLUMBAAN Grand Prix Solidariti di Litar Catalunya, Barcelona pada 17 November lalu meleraikan debaran para peminat selepas menyaksikan juara baharu Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) ditabalkan.

Jorge Martin yang berlumba untuk pasukan Pramac Racing berjaya menebus kegagalan musim lalu apabila berjaya menafikan hasrat Francesco ‘Pecco’ Bagnaia merangkul gelaran dunia hatrik sekali gus menjadi pelumba satelit pertama yang dinobatkan sebagai juara dunia.

Martin juga menjadi pelumba pertama selepas Valentino Rossi melakukannya pada 2003 yang bertukar pasukan selepas bergelar juara apabila meninggalkan Pramac untuk menyertai pasukan kilang Aprilia musim depan.

Ia bukanlah keputusan mudah untuk dibuat pelumba dari Madrid, Sepanyol itu selepas beberapa musim menunggang jentera Ducati, dia perlu segera menyesuaikan diri bersama jentera baharu dan terpaksa memikul tekanan untuk mempertahankan kejuaraan pada musim depan.

Keputusan pasukan utama Ducati memilih Marc Marquez dikatakan menjadi punca ‘merajuknya’ Martin yang berdasarkan prestasi lebih layak beraksi dengan pasukan itu musim depan.

Ducati yang memilih Marquez bukan sahaja menyebabkan mereka kehilangan Martin, malah Pramac juga membuat keputusan menamatkan kerjasama yang terjalin selama 20 tahun dengan pengeluar dari Bologna, Itali dan memilih untuk bersama Yamaha musim depan.

Justeru, pelbagai episod yang mewarnai sepanjang musim ini tidak akan berakhir di Barcelona, malah ia dijangka diheret sehingga ke musim depan dengan jangkaan pelbagai lagi kehangatan yang mewarnai saingan perlumbaan jentera dua roda paling berprestij di dunia itu.

Bagi peminat MotoGP, barisan pelumba musim depan juga memperlihatkan banyak perubahan besar dan ketara berlaku apabila Yamaha dan Honda sahaja mengekalkan pelumba sedia ada untuk musim depan, manakala sembilan lagi memilih untuk membuat perubahan pada senarai pelumba mereka.

Antara pasukan yang memilih untuk membawa muka baharu adalah Pramac yang membentuk gandingan Miguel Oliveira dan Jack Miller, Aprilia bakal menggunakan khidmat Martin dan Marco Bezzecchi, manakala KTM Tech3 menagih kepakaran Maverick Vinales dan Enea Bastianini.

Musim depan juga menyaksikan dua pelumba baharu, Somkiat Chantra (Thailand) bakal mengemudi jentera LCR Honda Idemitsu, manakala Ai Ogura (Jepun) bersama Trackhouse Racing mengambil tanggungjawab mengibarkan semangat pelumba dari benua Asia menggantikan Takaaki Nakagami yang tersisih.

Menjelang perlumbaan pertama musim 2025 yang akan membuka tirai di GP Thailand pada 2 Mac, peminat pastinya tidak sabar untuk melihat kemampuan Ducati untuk membantu Marquez untuk kembali menjulang gelaran dunia MotoGP ketujuh serta mengendalikan keinginan Pecco yang mahu menebus kekecewaan musim ini.

Selain itu, apakah musim 2025 akan menjadi tahun kebangkitan buat pasukan pengeluar dari Jepun, selepas mereka gagal teruk dalam memberikan saingan kompetitif kepada Ducati yang menguasai perlumbaan sejak tiga musim lalu. Bersama-samalah kita nantikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN