fbpx
Bapa haruslah memainkan peranan aktif dalam urusan penjagaan dan didikan anak-anak. – Gambar hiasan

K2

Figura bapa penting dalam membentuk karakter anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAPA atau suami memainkan peranan amat penting dalam sesebuah keluarga.

Bapa sebagai ketua keluarga menggalas pelbagai bentuk tanggungjawab moral, ekonomi, emosi, pendidikan dan lain-lain sebagai asas serta pemandu arah utama dalam keluarga.

Kestabilan dan kesejahteraan keluarga bergantung kuat kepada peranan yang dimainkan oleh si bapa.

Bapa atau suami bertindak sebagai pelindung kepada seluruh ahli keluarga dalam mengharungi pelbagai bentuk dugaan dan cabaran kehidupan.

Paling penting, bapa memberi pengaruh besar kepada pembentukan identiti dan personaliti anak-anak.

Karakter, tingkah laku mahupun apa jua yang ditonjolkan oleh bapa memberi kesan terhadap perkembangan karakter, nilai serta kepercayaan anak-anak.

Banyak kajian di dalam dan luar negara menunjukkan bahawa wujudnya perkaitan kukuh antara kehadiran figura bapa dengan perkembangan anak-anak.

Bapa yang memainkan peranan dengan baik, jelas tanggungjawab sebagai ketua keluarga, mempunyai ciri-ciri pemimpin sebagai seorang ketua keluarga, dapat membantu perkembangan dalam pelbagai aspek anak-anak.

Sebaliknya, anak-anak yang tidak mempunyai figura bapa dalam keluarga berhadapan dengan lebih banyak kesukaran untuk mendapatkan contoh yang boleh diikuti sehingga mengganggu perkembangan mereka.

Sesetengah kajian lepas juga melaporkan bahawa kehadiran figura bapa yang memainkan peranan aktif dalam keluarga dapat membantu mengurangkan penglibatan anak-anak dalam kegiatan sosial tidak berfaedah seperti jenayah, penyalahgunaan dadah, keciciran akademik serta lain-lain.

Bahkan, anak-anak yang dibesarkan dengan mempunyai figura seorang bapa bertanggungjawab sebagai pemimpin keluarga, lebih seimbang dari segi emosi dan mempunyai kemahiran sosial lebih baik.

Kehadiran figura seorang bapa sebagai pemimpin dalam keluarga amat penting.

Bapa haruslah memainkan peranan aktif untuk terlibat dalam urusan penjagaan dan didikan anak-anak.

Bapa perlu mengambil tanggungjawab mengajar nilai ketegasan, disiplin, dan mempunyai sikap keterbukaan terhadap anak-anak.

Anak-anak yang berinteraksi rapat dengan bapa cenderung lebih bijak mengurus hubungan sosial.

Seorang bapa juga harus memodelkan dirinya sebagai seorang bertanggungjawab dalam mengatasi cabaran hidup, bekerja keras, dan menjaga keluarganya.

Selain itu, bapa perlu memainkan peranan dalam membentuk identiti jantina positif, bukan hanya sebagai penjaga, tetapi juga rakan komunikasi yang membantu anak memahami dunia mereka.

Tidak dinafikan bahawa dengan kesibukan seorang bapa sebagai pencari nafkah utama dalam keluarga mungkin mengehadkan masa bersama anak-anak dan keluarga.

Lantas lebih selesa menyerahkan urusan didikan dan penjagaan anak-anak kepada si isteri sepenuhnya.

Dalam erti kata lain, wujud kesukaran untuk menyeimbangkan di antara tuntutan tanggungjawab keluarga dan kerjaya.

Namun tidak dinafikan, wujud juga bapa yang melepaskan tanggungjawab sepenuhnya kepada si isteri meskipun mereka bukan pencari nafkah utama untuk keluarga.

Pandangan bahawa tugas ibu lebih utama dalam penjagaan anak menyebabkan bapa kurang memberi perhatian kepada peranan mereka.

Perkara ini bagaimanapun tidak seharusnya dibiarkan berlarutan dalam tempoh panjang kerana akan memberi kesan kepada perkembangan dan emosi anak-anak.

Anak-anak mungkin tidak merasai ‘kehadiran’ bapa dalam hidup mereka meskipun jasadnya wujud dalam kehidupan.

Lantas, anak-anak ini lebih menjadikan orang lain sebagai figura boleh diikuti dalam hidup mereka ekoran ketiadaan figura bapa yang jelas dalam keluarga.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila anak-anak memodelkan figura yang negatif atau tidak bersesuaian hingga membawa mereka ke arah tingkah laku tidak sesuai, sekali gus mempengaruhi pembentukan karakter, emosi dan sosial.

Hal ini akan diteruskan dari satu generasi ke satu generasi seterusnya dalam keluarga. Maka, rantaian yang tidak sesuai ini harus dihentikan.

Kurangnya kesedaran tentang peranan bapa dalam penjagaan dan didikan anak-anak mungkin menjadi salah satu punca ketidakwujudan figura bapa sebagai pemimpin dalam sesebuah keluarga.

Dalam hal ini, seminar atau kempen kesedaran tentang kepentingan ibu dan bapa dalam keluarga dapat membantu meningkatkan kesedaran tersebut.

Selain itu, bapa boleh mengambil bahagian dalam aktiviti harian seperti membantu pembelajaran anak, meluang masa bersama anak, atau terlibat dalam tugas rumah tangga.

Bapa perlu menonjolkan ciri-ciri kepimpinan kepada anak-anak dengan mempamerkan sikap yang sesuai di rumah supaya mereka dapat merasai kehadiran seorang pemimpin keluarga.

Ini akan membantu khususnya anak-anak lelaki untuk membina identiti diri sebagai seorang lelaki yang mempunyai ciri kepimpinan.

Tidak bersikap terlalu mendominasi, seorang bapa seharusnya menjadi pendengar yang baik kepada pasangan dan anak-anak.

Bapa menyediakan ruang perbincangan dalam memahami permasalahan anak-anak.

Ini secara tidak langsung membolehkan bapa menjadi contoh dalam tingkah laku, pengurusan emosi dan cara menangani konflik dalam rumah tangga.

Tidak hanya itu, ia juga membolehkan bapa membina hubungan lebih rapat dan saling memahami dengan anak-anak serta memenuhi ‘tangki’ emosi mereka.

Banyak kebaikan apabila bapa memainkan peranan aktif dalam keluarga. Kehadiran bapa yang aktif memberikan kestabilan dan kebahagiaan dalam keluarga, mengurangkan tekanan dirasai oleh si ibu.

Anak-anak yang mempunyai hubungan yang kuat dengan bapa lebih cenderung untuk menjadi individu bertanggungjawab, bijak membuat keputusan dan memberi impak positif kepada masyarakat.

Justeru, kesedaran tentang pentingnya sesebuah keluarga untuk mempunyai figura bapa sebagai pemimpin dalam keluarga amat penting.

Pembentukan identiti generasi muda yang lebih bertanggungjawab dan berjaya bermula daripada dalam keluarga itu sendiri.

Justeru ibu bapa haruslah saling melengkapi dalam usaha mendidik anak-anak.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN