KLANG – Bukan sahaja ‘bertarung’ dengan lori malah terpaksa menempuh bahaya melalui jalan berlubang dan berlopak sejak enam bulan lalu.
Itu risiko dihadapi lebih 20,000 penduduk Kampung Bukit Kapar setiap kali melalui Jalan Iskandar dan Jalan Pasar Malam apabila ia dijadikan laluan utama jentera berat ke Kapar dan Meru.
Wakil penduduk, Mohd. Fahmizan Mustakim, 44, berkata, kewujudan lori membawa muatan tanah semakin banyak sejak kebelakangan ini hingga menyebabkan struktur jalan mengalami kerosakan teruk.
“Lebih meresahkan apabila kebanyakan lori itu dipandu laju termasuk pada waktu malam yang merisikokan bahaya kepada penduduk terutama pelajar tiga sekolah di kampung ini.
“Penduduk sudah mengajukan perkara itu kepada pihak berwajib, namun masih tiada jalan penyelesaian sehingga kini,” katanya ketika ditemui di lokasi tersebut semalam.
Tinjauan Kosmo! mendapati, keadaan dua jalan utama kira-kira lapan kilometer (km) itu berlubang dan ditakungi air dengan turut digunakan puluhan lori hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.
Bagi Pengerusi Tabika Bustanun Nur, Azlan Ayob, ibu bapa yang menghantar anak ke pusat pendidikan itu turut bimbang dengan keselamatan mereka.
“Kami terutama ibu bapa terutama yang menunggang motosikal perlu sentiasa berwaspada bagi mengelak terjatuh kerana jalan licin dan berlubang.
“Keadaan itu semakin teruk terutama pada waktu hujan dan malam,” ujarnya.
Sementara itu, penduduk yang juga merupakan seorang guru, Siti Aniza Khairuddin, 38, berkata, terdapat juga murid mengalami simptom alahan seperti batuk dan selesema akibat habuk ketika cuaca kering.
“Situasi ini mengundang kerisauan ibu bapa mengenai tahap kesihatan anak-anak mereka setiap kali ke Tabika.
“Saya merayu supaya isu itu diberi tumpuan untuk segera diselesaikan kerana melibatkan soal nyawa dan keselamatan murid,” katanya.















