RANTAU PANJANG – Hujan berterusan sejak malam kelmarin menyebabkan penduduk di Kampung Bendang Perol di sini, sudah berkemas selepas kawasan rumah mereka mula digenangi air akibat limpahan Sungai Lanchang semalam.
Penduduk juga mula memindahkan kenderaan mereka ke tempat tinggi.
Seorang penduduk, Mek Yam Ahamad, 82, berkata, air naik mendadak pagi semalam ekoran hujan lebat sejak malam kelmarin sehingga pekarangan rumahnya digenangi air setinggi 0.3 meter.
Menurutnya, dia sudah membuat persiapan awal dan tujuh keluarga di Kampung Bendang Perol mungkin akan berpindah pusat pemindahan sementara (PPS) jika hujan tidak berhenti.
“Kebiasaannya, tujuh keluarga di sini menjadi mangsa yang terawal berpindah ke PPS dan paling akhir pulang ke rumah.
“Air banjir pada musim tengkujuh selalunya naik waktu malam, tetapi saya akan berpindah awal kerana untuk keluar ke jalan utama perlu berjalan kaki sejauh 800 meter. Saya juga sakit lutut dan tidak larat berjalan jauh,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Seorang lagi penduduk, Zuraisham Hassan, 36, berkata, banjir akan berlaku bila-bila masa jika air Sungai Lanchang yang terletak berhampiran Sungai Golok melimpah.
Menurutnya, meskipun sudah lali dengan situasi banjir setiap tahun, dia dan keluarga tetap membuat persiapan rapi.
“Semua dokumen dan barang elektrik juga sudah disimpan di tempat tinggi agar tidak rosak ditenggelami banjir.
“Saya dan keluarga tidak membeli barangan keperluan dapur untuk bekalan banjir kerana kami pasti akan berpindah ke PPS nanti,” ujarnya.
Seorang pelajar, Nur Ayunie Balqis Zakaria, 15, memberitahu, buku-buku sekolah sudah disimpan kerana khuatir rosak ditenggelami banjir.
“Saya dan keluarga akan ke PPS kerana rumah kami pernah ditenggelam banjir hingga paras bumbung. Sepanjang tempoh itu, saya tidak hadir ke sekolah kerana semua jalan terputus hubungan,” katanya.
















