PETALING JAYA – “Kami lihat kesemua mangsa terapung dibawa arus dan ada seorang masih berpaut pada bot.”
Demikian cerita salah seorang saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd., 30, yang turut memberi bantuan awal kepada tiga mangsa lemas di Sungai Jahang, Gopeng, Perak kelmarin.
Ceritanya, sewaktu kejadian dia bersama tiga lagi rakan baru selesai sesi water rafting bersama pelanggan dan berehat di tepi sungai.
“Tiba-tiba kami nampak ada orang hanyut dalam keadaan terapung, salah seorangnya masih berpaut pada bot, dua lagi terapung tanpa sedarkan diri.
“Kami terus mendapatkan mangsa dengan dua bot. Pada masa sama ada juga bantuan daripada bot pasukan mereka dan rakan-rakan lain.
“Kami kejar mangsa terapung, mangsa pertama ditemui tidak jauh dari tempat kami berehat, manakala dua lagi berjaya diselamatkan selepas lebih 500 meter ‘dikejar’,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.
Mohd. berkata, malangnya selepas ketiga-tiga berjaya diselamatkan, kesemua mereka sudah tidak sedarkan diri.

Mengulas lanjut, dia memberitahu, sewaktu kejadian arus sungai agak deras dan kedalaman air sedikit tinggi.
“Sebenarnya bukan kepala air kelmarin, cuma hujan lebat lebih sejam (bermula pukul 2 petang hingga 3.30 petang) menyebabkan air sedikit besar,” jelasnya.
Dalam pada itu, di Kampar, polis mengambil kenyataan 19 individu untuk membantu siasatan kes lemas membabitkan tiga mangsa berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, kesemua mereka terdiri daripada peserta dan jurupandu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, mereka yang lemas ialah Mohamad Khairul Hakim Hamidi dan Muhammad Ikram Abdul Bari masing-masing berumur 37 dan 29 tahun serta Suhaili Mat Saad, 47.
Ketiga-tiga mangsa merupakan antara tujuh kakitangan JKR Langkawi, Kedah dan 14 kakitangan dari JKR Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang yang menginap di resort berdekatan sungai serta terlibat dalam program team building. – KOSMO! ONLINE














