ALOR SETAR – “Siapa sahaja yang mengambilnya saya harap mereka bawa dia pulang dengan selamat.”
Demikian permintaan Naziroh Saad, 50, kakak kepada Siti Rohani, 37, wanita yang dilaporkan hilang sejak 8 November lalu.
Menurut Naziroh, biarpun telah seminggu tiada khabar berita, mereka sekeluarga yakin Siti Rohani masih hidup dan berharap wanita itu pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat.
“Tahun lepas saya kehilangan anak bongsu, Aqil, 13, yang menghidap ketumbuhan otak dan sekarang Siti Rohani hilang entah ke mana.
“Walau di mana dia berada sekarang atau siapa sahaja yang mengambilnya, saya harap mereka bawa dia pulang dengan selamat,” katanya ketika ditemui di Kampung Kuala Lanjut di sini semalam.
Bercerita tentang hari-hari terakhir sebelum kehilangan Siti Rohani, kata Naziroh, adiknya itu kelihatan agak sugul serta pendiam berbanding sebelum ini.
“Saya ingatkan dia keletihan kerana bekerja. Balik kerja terus masuk bilik tidak macam seperti selalu.
“Sejak kehilangannya, kami trauma dan sedih dengan cakap-cakap orang yang membuat pelbagai andaian. Kalau boleh saya harap semua mendoakan keselamatannya sahaja,” ujarnya.
Cerita Naziroh, Siti Rohani yang sudah enam tahun bekerja di sebuah restoran di Jalan Pegawai Alor Setar seorang yang peramah dan tidak mempunyai musuh.
Dalam pada itu, abang Siti Rohani, Saiful, 48, berkata, mereka sekeluarga telah melakukan pelbagai ikhtiar agar adiknya ditemukan dengan selamat termasuk solat hajat dan bacaan Yasin hampir setiap malam.
“Sejak Jumaat minggu lalu kami tidak tidur lena. Macam-macam ikhtiar kami buat dengan harapan adik akan kembali kerana pada firasat kami, Siti Rohani masih hidup,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Siti Rohani hilang selepas tidak datang bekerja pada 8 November dan motosikal miliknya ditemui di tebing Sungai Titi Haji Idris di sini pada hari sama.
















