fbpx
AMG G 63 facelift lebih menyerlah dengan gril pada bampar hadapan yang lebih besar.

Jiwa maskulin ‘Godfather of SUV’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KENDERAAN utiliti sukan (SUV) berprestasi tinggi, Mercedes-AMG G 63 pasti membuatkan siapa jua teruja dengan reka bentuk lasak, sporty dan berani.

Apatah lagi ia digelar ‘Godfather of SUV’ yang mana model SUV premium itu kekal dengan reka bentuk ikonik G-Class yang menonjolkan penampilan kukuh serta lebih gagah berbanding kebanyakan SUV lain.

Awal bulan lalu, Mercedes-Benz Malaysia telah melancarkan versi facelift untuk AMG G 63 dengan penampilan baharu bagi pasaran Malaysia.

SUV ikonik kayangan ini dijual pada harga RM1,948,888 atas jalan tanpa insurans.

Sekali imbas, G-Wagon ini masih mengekalkan rekaannya yang ikonik iaitu bentuk berpetak yang mewah dan tahan lasak.

G 63 ini menyerlah dengan gril AMG Panamericana menegak serta liang masukan udara (vent) pada bampar hadapan yang lebih besar sekali gus memberikan penampilan yang garang dan eksklusif.

Bahagian luarnya lebih terserlah dengan perincian rim aloi AMG cross-spoke forged berukuran 12 inci dengan kaliper brek berwarna merah serta tip ekzos.

Menyerlah lagi keperibadian jentera mewah ini ialah penawaran AMG Night Package dengan kemasan hitam atau krom gelap pada gril hadapan dan cermin sisi.

Jentera ini memiliki rekaan ikonik dengan roda ganti ikonik tergantung di pintu belakang.

G 63 serba baharu turut menggunakan sistem ekzos spesifik AMG dengan tip ekzos berkembar pada sisi badan, manakala roda ganti ikonik pula tergantung di pintu belakang.

Bagi mereka yang mahu menambah sentuhan maskulin, AMG Night Package sememangnya menawarkan elemen rekaan lebih sporty.

Lebih menarik, menerusi G 63 versi facelift baharu ini turut diberikan sistem kemasukan tanpa kunci (keyless) dengan butang kunci.

Antara perincian standard yang dibekalkan termasuk lampu hadapan LED Multibeam, bumbung panaromik, tempat duduk larasan kuasa dengan fungsi memori dan kerusi dengan balutan upholsteri kulit Nappa.

Bahagian dalaman AMG G 63 serba baharu juga menampilkan elemen unik yang menekankan rekaan sporty, malah ruang dalaman SUV ikonik ini boleh diubah menjadi ruang istirahat.

Pakej Energizing Plus dengan fungsi urutan dan kawalan iklim tempat duduk menjadikan pengalaman pemanduan lebih selesa dengan rekaan elemen berlian pada tempat duduk yang mempunyai kontur.

Menjengah ke ruangan kabin, AMG G63 facelift dilengkapi sistem infotainment Mercedes-Benz User Experience (MBUX), skrin sentuh bersaiz 12.3 inci, sistem arahan suara ‘Hey Mercedes’, navigasi AR serta ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Ciri baharu lain termasuk stereng AMG baharu dengan gentian karbon atau mikrofiber microcut menyerlahkan kokpit jentera lasak ini yang menerima paparan ‘offroad cockpit’ bagi membantu pemandu meredah laluan lasak.

Selain itu, dengan sistem bunyi sekeliling 3D Burmester pada AMG G 63 serba baharu menawarkan bunyi yang tiada tandingan serta menampilkan pengalaman audio Dolby Atmos yang mengasyikkan.

Ruangan kabinnya yang sporty, kemas dan penuh elemen mewah.

Dari segi kuasa, model ini dijana oleh enjin M177 4.0 liter biturbo V8 yang berupaya menghasilkan kuasa 585hp dan tork 850Nm.

Untuk meningkatkan prestasi, model ini kini dilengkapi dengan teknologi 48 volt dan Integrated Starter-Generator (ISG) yang membekalkan tambahan 20hp dan tork tambahan sebanyak 200Nm.

Dengan transmisi AMG speedshift TCT 9G yang memacu keempat-empat roda, AMG G63 mampu memecut dari pegun ke 100 km/j hanya dalam masa 4.4 saat dan mencapai kelajuan maksimum 220km/j.

Model pasaran Malaysia ini datang standard dengan pakej AMG Performance yang membolehkan kelajuan maksimumnya mencapai 240 km/j berbanding 220 km/j untuk versi biasa.

Untuk sistem suspensi, AMG G 63 pacuan empat roda klasik ini menggunakan sistem suspensi AMG active Ride Control dengan penstabil olengan hidraulik aktif dan redaman adaptif boleh laras.

Bagi sistem keselamatan, Mercedes-AMG G63 facelift ini menerima sistem bantuan pemanduan termasuk bantuan kekal tengah lorong, brek kecemasan automatik, pemantau titik buta, amaran buka pintu dan lampu tinggi adaptif selain dilengkapi bantuan parkir dan sistem kamera 360 darjah yang mengujakan.

Kesimpulannya, penulis beranggapan model digelar ‘Godfather of SUV’ ini amat ikonik sesuai bagi mereka yang ingin menyerlahkan keperibadian maskulin.

Jentera berpretasi tinggi ini tetap mengekalkan rekaannya sejak 40 tahun lalu dengan karisma G-Wagon.

Dari segi saiz, harga dan prestasinya mungkin boleh bersaing dengan Range Rover, tetapi penggemar jentera SUV ikonik pasti kekal dengan model ini yang lebih klasik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN