KUALA LUMPUR – Polis selesai merakam keterangan suspek kes buli seorang penuntut tahun satu Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang cedera parah akibat dipijak penuntut senior.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, selain suspek, polis turut merakam percakapan lima saksi, hari ini.
“Suspek tidak ditahan, setakat ini 15 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sebelum ini, polis memaklumkan suspek tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras untuk dirakam keterangan, petang tadi.
Seramai sembilan individu telah dirakam keterangan berhubung kes tersebut.
Terdahulu Kosmo! melaporkan polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 8.40 malam Jumaat lalu.
Kejadian dilaporkan berlaku pada pukul 10.45 malam 21 Oktober lalu, ketika mangsa berada di tepi padang kawad setelah selesai dipanggil nama.
Mangsa berusia 19 tahun itu dilaporkan mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak oleh seorang pelatih tahun tiga, di universiti berkenaan.
Mangsa kini sedang mendapatkan rawatan di hospital berhubung kecederaan yang dialami.
Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.-KOSMO! ONLINE.