PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Kuwait, Sabah Al-Khalid Al-Sabah.
Menurut Anwar, pada pertemuan tersebut beliau mengucapkan tahniah kepada Kuwait yang akan menjadi Pengerusi Majlis Kerjasama Teluk (GCC) bermula Disember depan.
“Saya turut memanjangkan jemputan kepada beliau untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-GCC serta Sidang Kemuncak ASEAN-GCC+China pada Mei 2025 di Kuala Lumpur.
“Malaysia sudah pastinya akan mengemudi ASEAN untuk mengukuhkan kerjasama dengan negara-negara di Timur Tengah,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Tambah beliau, mereka juga komited untuk mempertingkatkan lagi hubungan dua hala terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.
“Saya percaya hubungan Malaysia dan Kuwait akan terus diperkukuh ke tingkat yang lebih tinggi, Insya-Allah,” katanya.- KOSMO! ONLINE