fbpx
PENGGUNA aplikasi e-Azzuha boleh mendapatkan modul perjalanan umrah secara komprehensif. – Gambar hiasan

Segala urusan haji dan umrah dalam satu aplikasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKSANAKAN ibadah haji dan umrah bukanlah sekadar menziarah Tanah Suci Mekah secara zahirnya.

Sebaliknya, tuntutan tersebut perlu dilakukan dengan perancangan rapi, pemahaman dan ilmu supaya ibadah itu dapat diterima di sisi-Nya.

Urusan haji dan umrah bukan semudah menempah tiket, sebaliknya terdapat banyak prosedur dan dokumentasi yang perlu dilakukan, selain menyiapkan diri dengan menghadiri kelas agama.

Bagi memudahkan tersebut, penyedia perkhidmatan umrah dan haji, Azzuha Group Travel & Tours (Azzuha) tampil dengan inovasi aplikasi kecerdasan buatan (AI), e-Azzuha.

Ketua Pegawai Eksekutif Azzuha, Abdul Malik Abdul Raman berkata, aplikasi itu merupakan satu kemudahan yang dibangunkan oleh pihaknya untuk membantu jemaah dan bakal jemaah.

Ujarnya, e-Azzuha membantu pengguna memilih pakej bersesuaian serta menyimpan semua dokumentasi untuk keperluan perjalanan serta rujukan dalam beribadah.

“Aplikasi ini merupakan pendekatan baharu pertama seumpanya dalam industri pelancongan Islamik dengan memanfaatkan teknologi moden.

“Ia dibangunkan khusus buat ibadah haji serta umrah yang mempunyai semua keperluan daripada tempahan penerbangan sehingga pemantauan perjalanan.

“Aplikasi ini dibangunkan dengan menyedari bahawa pengurusan perjalanan umrah memerlukan ketelitian dan perhatian penuh kepada butiran kecil.

“Menerusi e-Azzuha, kami ingin memastikan setiap jemaah dapat mengurus perjalanan ibadah pengguna dengan lebih lancar, tanpa sebarang tekanan atau kekeliruan,” katanya.

Abdul Malik ditemu bual ketika Majlis Pelancaran Awal, e-Azzuha di Puspanitapuri, Dewan Seri Endon, Putrajaya baru- baru ini.

Tambahnya, menerusi aplikasi e-Azzuha, pengguna boleh merancang perjalanan dengan lebih mudah melalui AI bagi membantu mereka membuat keputusan tepat berdasarkan keperluan individu.

Aplikasi e-Azzuha menyediakan pelbagai ciri, termasuk modul perjalanan umrah yang komprehensif, kemudahan pembayaran dalam talian, pemantauan status perjalanan secara langsung, khidmat bantuan mutawif, khidmat pelanggan dan lain-lain.

Kongsi Abdul Malik, antara ciri menarik dalam aplikasi itu adalah pilihan rujukan jemaah kepada modul ibadah dan pemantauan perjalanan, akses untuk menghubungi mutawif dan ruang pertanyaan dengan AI.

ABDUL MALIK menunjukkan aplikasi e-Azzuha yang dibangunkan oleh syarikatnya.

“Dalam urusan ibadah, rujukan amat penting supaya jemaah dapat melaksanakan ibadah tanpa was-was.

“Melalui aplikasi ini, mereka boleh membuat rujukan secara terus dan berhubung dengan mutawif untuk lebih penjelasan.

“Aspek pemantauan juga amat dititikberatkan dan semua dokumentasi jemaah boleh disimpan dalam satu platform bagi memudahkan mereka melakukan pelbagai urusan yang melibatkan dokumen-dokumen berkenaan,” ujarnya.

Katanya lagi, dari aspek keselamatan data dan kelancaran aplikasi, pihaknya telah menyiapkan satu pasukan untuk memastikan tiada kebocoran maklumat dan membaik pulih sistem sekiranya berlaku ralat.

Bagi perancangan jangka masa panjang pula, pihaknya bercadang memperluaskan penggunaan aplikasi itu ke peringkat global.

Ujarnya, pihaknya berharap ia dapat menjadi platform utama bagi industri pelancongan Islamik di seluruh dunia pada masa depan.

“Kami tidak berhenti di sini. Hasrat kami adalah untuk menjadikan e-Azzuha satu inovasi global yang bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat Malaysia, malah kepada umat Islam di seluruh dunia.

“Pihak kami juga berharap dapat merevolusikan cara perjalanan umrah dan haji diuruskan, sekali gus menjadi simbol kepada masa depan digital industri ini,” ujarnya sebelum menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN