fbpx
Abu mendedahkan pernah bertemu dan makan bersama Osama bin Laden ketika ditemu bual wartawan Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Eksklusif: ‘Saya jumpa Osama ketika dia belum terkenal’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Dari penampilan luaran, tiada yang istimewa bagi Abu (bukan nama sebenar), namun siapa sangka lelaki berusia 58 tahun ini pernah menembak helikopter musuh sewaktu peperangan Afghanistan-Russia pada awal 1990-an.

Bekas anggota kumpulan militan JI itu pernah menjalani latihan taktikal peperangan selama empat tahun di sebuah akademi ketenteraan bersempadan ­Afghanistan sehingga ditauliahkan dengan pangkat leftenan.

Abu juga pernah makan setalam bersama pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden sewaktu berada di negara bergolak tersebut.

Menceritakan semula mengenai penglibatannya dalam kumpulan militan berpengaruh itu, Abu berkata, bibit bermula selepas dia mengikuti perkemba­ngan peperangan di Afghanistan daripada seorang ustaz sewaktu di bangku sekolah.

“Ada seorang ustaz suka bercerita tentang peperangan dan kisah umat Islam di Afghanistan. Setiap kali menonton berita di kaca televisyen, banyak kisah perang dipaparkan, jadi saya mula tertarik.

“Selepas menamatkan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), saya mendapat panggilan temu duga pangkat leftenan muda di Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Malangnya pada hari ketiga saya disuruh pulang, jadi memang tak dapatlah (masuk tentera),” katanya ketika ditemui Kos­mo! baru-baru ini.

Menurut bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu, minat terhadap bidang ketenteraan tidak pernah pudar meskipun selepas itu dia mendapat tawaran menyambung pe­ngajian peringkat diploma dalam bidang kimia di sebuah universiti awam terkemuka.

Ketika di universiti, anak kelapan daripada sembilan beradik itu meneruskan minatnya de­ngan berguru bersama warga Indonesia, Abdullah Sungkar, pe­mimpin JI yang berada di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Abdullah yang berketurunan Yemen menyertai Pertubuhan Darul Islam sebelum menubuhkan JI pada 1993 yang mana keanggotaannya boleh disertai oleh seluruh umat Islam rantau Nusantara termasuk Malaysia.

“Ustaz (Abdullah) ada datang ceramah di sebuah masjid di ibu negara, jika beliau tidak datang (Kuala Lumpur) saya ke Negeri Sembilan. Selama dua tahun berulang-alik KL-Negeri Sembilan dengan motosikal.

“Saya masih ingat kata-kata ustaz ‘Tengok televisyen saja, pergi (Afghanistan) teruslah’. Jadi saya nekad tinggalkan pengajian pada tahun kedua dan berlepas ke Afghanistan menggunakan duit sendiri,” katanya

Dengan berbekalkan wang RM800 hasil jualan motosikal jenis Honda C70 pada 1989 ketika berusia 23 tahun, lelaki itu membuat pasport dan membeli tiket kapal terbang ke Pakistan yang berharga RM500, manakala baki­nya pula dijadikan duit poket.

“Tiada ahli keluarga yang tahu saya berlepas ke sana (Afghanis­tan). Kehila­ngan saya dihebahkan di radio selain bacaan yasin,” kata­nya.

Lelaki itu bertolak dari lapangan terbang Subang ke Karachi sebelum dibawa ke Peshawar dan menjalani latihan ketente­raan di sana selama tiga tahun (1989-1992).

Katanya, dia bukan individu pertama, sebaliknya terdapat beberapa lagi rakyat Malaysia yang sudah berada di negara bergolak tersebut.

Antara ilmu yang ditimba adalah taktikal peperangan, pengendalian senjata api seperti rifal, ‘anti aircraft’, mesingan sehingga dilantik sebagai leftenan.

“Saya mempunyai kepakaran dalam mengendalikan rifal peluru anti pesawat dan kereta kebal (RPG). Paling tidak dapat dilupakan saya berjaya menembak helikopter musuh.

“Pesawat itu terhempas selepas terkena tembakan peluru anti pesawat,” jelasnya.

Abu bagaimanapun mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air selepas dinasihatkan berbuat demikian pada tahun 1993 setelah peperangan tersebut tamat.

“Sewaktu mahu pulang ke Malaysia, saya menghadapi masalah kerana pasport telah tamat tempoh.

“Ketika itu saya dikenalkan dengan dengan ‘funder’. Rupa-rupanya individu tersebut ialah Osama bin Laden (Osama).

“Pada pertemuan itu, beliau (Osama) memberikan wang kira-kira RM2,000. Wang itu saya gunakan untuk memperbaharui pasport, membeli tiket kapal terbang dan kitab-kitab,” katanya yang memberitahu pernah makan sedulang bersama pemimpin militan itu.

Tambah Abu, ketika itu, Osama merupakan individu biasa dan tidak mempunyai pengaruh dalam kumpulan militan.

“Osama masih belum dikenali ramai sewaktu itu. Saya pun tidak tahu dia anak orang kaya. Orangnya tinggi lampai dan tiada jawatan, tapi orang Yemen ini (Osama) kelebihannya sebab ‘sempoi’,” katanya.

Sekembalinya ke tanah air, lelaki berusia lima dekad itu kemudiannya mengajar ilmu pe­perangan kepada jemaah militan di negara ini sebelum ditahan di bawah ISA pada tahun 2000.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN