fbpx
SUKAN renang negara menunjukkan kebangkitan prestasi.

Kebangkitan atlet renang negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PRESTASI skuad renang negara dalam Piala Dunia Renang Akuatik 2024 di Shanghai bukan sekadar mencipta sensasi, tetapi menjadi petanda kebangkitan semula sukan renang negara selepas beberapa dekad.

Kejayaan menggondol satu pingat gangsa menerusi olimpian negara, Tan Rouxin dan beberapa perenang memecahkan enam rekod kebangsaan memberi harapan baru buat masa depan sukan tersebut di pentas antarabangsa.

Pingat gangsa Tan Rouxin bukan sekadar pencapaian individu yang hebat, tetapi juga simbolik kepada sukan renang Malaysia di pentas dunia selepas 35 tahun tanpa sebarang kejayaan besar selain menjadi pelopor kepada generasi baru.

Jurulatih skuad renang kebangsaan, Eric Anderson menggambarkan kejayaan itu sebagai batu loncatan yang penting untuk masa depan sukan renang Malaysia dan yakin bahawa kejayaan yang diraih di Shanghai hanya permulaan kepada pencapaian yang lebih besar.

Kini, perhatian tertumpu kepada Kejohanan Dunia di Budapest pada Disember nanti dan Anderson percaya, kejayaan di Shanghai hanyalah permulaan kepada sesuatu yang lebih besar dan percaya skuad renang negara mampu mencipta lebih banyak kejutan di pentas dunia.

“Saya sangat gembira, acara-acara Piala Dunia ini hanyalah batu loncatan menuju Kejohanan Dunia di Budapest pada Disember ini. Untuk mencapai kelajuan seperti ini pada masa sekarang adalah sangat baik,” katanya.

Anderson turut menekankan gabungan antara perenang senior dan atlet muda berbakat adalah resipi kejayaan yang kini dinikmati oleh anak buahnya.

“Ia kelihatan seperti kita sedang mendekati era yang sangat berjaya dalam sukan renang Malaysia. Gabungan antara atlet muda berbakat dan perenang senior yang memimpin adalah resipi untuk kejayaan,” tambah Anderson.

Ini menunjukkan bahawa skuad renang negara kini berada di tahap di mana pengalaman perenang senior telah membantu membimbing atlet muda yang baru menyertai kejohanan antarabangsa.

Menurut Anderson, kemudahan latihan yang berkualiti tinggi di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil menjadi faktor penting dalam peningkatan prestasi perenang negara.

“Kelebihan besar yang kita miliki pada masa ini adalah ramai atlet terbaik di negara ini berlatih bersama di Bukit Jalil. Tahap persaingan dalam latihan sangat tinggi dan ia mendorong semua orang untuk terus maju,” ujarnya.

Latihan yang dijalankan di bawah satu bumbung memberi peluang kepada para atlet untuk bersaing sesama sendiri dalam suasana yang kompetitif, sekali gus mendorong peningkatan masa dan kekuatan mental.

Kelajuan yang dicapai oleh perenang negara dalam temasya Piala Dunia Shanghai juga menjadi bukti keberkesanan latihan yang dijalankan dan Anderson turut memuji tahap kelajuan
atlet yang sudah mampu bersaing dengan perenang-perenang dari negara yang lebih berpengalaman.

Ini bukan sekadar kejayaan di atas podium, tetapi juga kejayaan mental dan fizikal yang memberikan harapan tinggi kepada skuad renang untuk terus memberikan saingan di kejohanan-kejohanan besar lain.

Skuad renang negara kini tidak lagi dianggap sebagai pencabar lemah di arena dunia, sebaliknya, mereka kini dilihat sebagai pasukan yang mampu mencipta kejutan dan meraih kejayaan di masa depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN