fbpx
SETIAP penjawat awam harus mempunyai jiwa kepimpinan yang tinggi. – Gambar hiasan

K2

Datang kerja atau datang bekerja?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KONSEP dalam bekerja ialah kehadiran ke tempat kerja. Namun begitu, kehadiran ke tempat kerja berubah seiring dengan teknologi.

Jika dahulu, kehadiran ke tempat kerja memerlukan seseorang mencatat kehadiran dalam buku rekod tetapi berubah kepada imbasan ibu jari dan imbasan muka.

Pada hari ini, kehadiran ke tempat kerja bertambah canggih apabila seseorang itu hanya mencatatkan kehadiran melalui aplikasi teknologi digital bagi menandakan kehadirannya.

Hal ini boleh dilakukan di mana-mana sahaja oleh seseorang pekerja.

Bagaimanapun, perubahan yang berlaku bukan sewenang-wenangnya, tetapi diputuskan oleh pihak pengurusan sesebuah organisasi berdasarkan dasar dan peraturan.

Selanjutnya, perkara penting untuk sama-sama disedari adalah gaya dalam sesebuah pekerjaan itu yang telah berubah akibat senggolan teknologi.

Perubahan itu mempamerkan gaya pekerjaan era analog berubah kepada era digital. Revolusi ini membawa kepada beberapa perubahan seperti sistem pengurusan dan tatakelola sesebuah pekerjaan.

Namun begitu, falsafah dan prinsip bekerja itu masih kekal, iaitu kerja itu sebagai amanah.

Seseorang pekerja walau di mana-mana hierarkinya, mereka adalah pemimpin. Oleh itu, Ketua Setiausaha Negara (KSN) dalam Majlis Aspirasi KSN pada 10 September lalu mengingatkan hal ini dengan potongan hadis Nabi SAW; “Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan setiap daripada kamu bertanggungjawab atas kepimpinannya.” (HR: Bukhari dan Muslim)

Jika diselusuri hadis ini dengan lebih terperinci, seorang pembantu rumah juga merupakan seorang pemimpin, iaitu dia dipertanggungjawabkan terhadap semua harta tuannya.

Semua pegawai kerajaan mesti melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan sebaik mungkin.

Dasar dan peraturan yang ada dalam tatakelola pengurusan perlu dipatuhi, di samping berpegang teguh dengan nilai integriti dan etika.

Setiap tindakan atau keputusan yang dilaksanakan adalah jelas akan salah atau benar. Perkara yang salah itu tidak akan menjadi benar dengan fatwa yang dibuat-buat, malah matlamat juga tidak menghalalkan cara.

Dunia digital membawa maklumat di hujung jari dan memungkinkan segalanya. Oleh itu, setiap orang tahu akan gaji bagi sesuatu pekerjaan, gred dan jawatan.

Begitu juga dengan keadaan semasa, anggaran perbelanjaan bagi seseorang pegawai perkhidmatan awam juga dapat dijangka. Sehubungan itu, gaya hidup melambangkan imej seseorang pegawai perkhidmatan awam.

Oleh itu, peringatan oleh KSN kepada pegawai perkhidmatan awam bahawa mereka itu seorang pemimpin yang mesti memiliki integriti dan etika serta akan dipertanggungjawabkan.

Peringatan ikhlas KSN mesti disambut dengan pemikiran yang jernih dengan mengambil sikap kesederhanaan dan kebijaksanaan sebagai penjawat awam.

Seterusnya, dasar dan peraturan yang ada perlu dipatuhi serta etika sebagai pegawai perkhidmatan awam sentiasa dijunjung.

Hal ini ditegaskan oleh KSN menerusi misi Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam 2024-2030 dengan menyatakan Bidang Keberhasilan Reformasi, iaitu penghayatan nilai dan tatakelola bersama-sama Strategi Keberhasilan Reformasi. Berdasarkan perbincangan di atas, pegawai perkhidmatan awam pada setiap hierarki itu merupakan pemimpin.

Hakikatnya, seorang pemimpin itu akan dipertanggungjawabkan. Oleh itu, pemimpin yang berjaya adalah mereka yang mempunyai integriti dan akauntabiliti terhadap amanah.

Nilai ini juga menyokong Strategi Keberhasilan Reformasi, iaitu membangunkan nilai patriotisme penjawat awam kerana kualiti kerja yang tinggi, akauntabiliti dan berintegriti menjadi lambang patriotisme.

Sehubungan itu, pegawai perkhidmatan awam hendaklah sentiasa datang bekerja sebagai seorang pemimpin yang mempunyai amanah dan sedia dipertanggungjawabkan.

Menerusi penetapan minda, datang bekerja sebagai pemimpin menjadikan mereka sedar bahawa mesti mempunyai akauntabiliti.

Dengan ini, mereka akan memanfaatkan setiap detik dan saat untuk melaksanakan tugas yang menjadi amanah. Minda demikian akan memajukan perkhidmatan awam di negara ini.

Setiap orang dalam sesebuah organisasi amat penting. Sikap dan nilai pegawai dalam organisasi menjadi penentu kecekapan pengurusan sesebuah organisasi bagi mencapai kejayaan.

Ini ditegaskan oleh KSN menerusi kata-kata, iaitu “With bad laws and good civil servants it’s still possible to govern. But with bad civil servants even the best laws can’t help”. (Otto von Bismarck).

Justeru, amat penting dilihat sikap dan nilai pada kehadiran pegawai ke tempat kerja, sama ada sikap dan nilai itu positif atau sebaliknya.

‘Datang kerja’ dan ‘datang bekerja’ merupakan dua frasa berbeza. ‘Datang kerja’ bermakna hadir ke tempat kerja, iaitu mencatatkan kehadiran sama ada secara mencatat dalam rekod, mengetip kad kedatangan, imbasan ibu jari, imbasan muka atau catatan dalam aplikasi digital.

Selepas mencatat kehadiran, pegawai keluar bersarapan atau membaca surat akhbar mahupun membaca WhatsApp.

Kemudian, jika sudah ada rakan lain, pegawai bersembang dan berdebat tentang isu-isu yang tiada kaitan dengan tugas mahupun bergosip.

Hakikatnya, ‘datang kerja’ sedemikian menunjukkan pegawai tidak bekerja tetapi memang diakui sudah berada di tempat kerja. Kemudiannya, apabila mula melaksanakan kerja, tugas yang dibuat sekadar mengambil pendekatan menantikan arahan.

Pegawai yang ‘datang bekerja’ akan terus menguruskan segala tugasan apabila hadir bekerja, malah tugasan dilaksanakan itu pula dilaksanakan dengan strategi dan tertib.

Pegawai yang ‘datang bekerja’ akan sentiasa bertenaga (energetic) dan berfikiran positif. Budaya kerja pegawai juga tidak memfokuskan penyelesaian masalah.

Malah, pegawai yang ‘datang bekerja’ memiliki sikap positif dalam bekerja, iaitu biar terlebih bekerja daripada terkurang bekerja.

Selain itu, pegawai yang ‘datang bekerja’ mendepani cabaran yang ada dengan tindakan yang bersifat mencabar proses (challenge the process). Oleh itu, budaya kerja yang kreatif dan inovatif berkembang maju dalam organisasi.

Perbincangan berkaitan budaya ‘datang kerja’ atau ‘datang bekerja’ amat terkait dengan nilai integriti serta pembaziran.

KSN telah menyebutkan bahawa antara cabaran perkhidmatan awam adalah budaya pembaziran.

Sekiranya budaya ‘datang kerja’ tidak ditangani dengan ‘datang bekerja’, tentu berlakunya pembaziran pada negara serta perkhidmatan awam.

Oleh itu, pegawai perkhidmatan awam perlu mempunyai penetapan minda (mindset) yang betul terhadap kerjaya masing-masing.Apabila KSN menyebutkan budaya pembaziran, gejala ini patut juga diteliti menerusi budaya aktiviti bersifat majlis (ceremonial).

Sekiranya ‘datang bekerja’, maka agenda bersifat ceremonial dapat dihindari. Sebaliknya, jika ‘datang kerja’, tentu aktiviti bersifat ceremonial akan memenuhi agenda turun padang.
Lantaran itu, ‘datang bekerja’ menjadi wasilah mentaati perintah Allah SWT dalam al-Quran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN