fbpx
Aneka hidangan berasaskan ketam boleh diperoleh di Pondok Ketam, Petaling Jaya, Selangor.

Aneka juadah ketam jadi penambat selera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TEKSTUR isi ketam nipah yang lembut dan berjus dilengkapi dengan kuah masam-masam manis pedas sememangnya memikat selera.

Juadah bernama signature chilli crabs itu cukup enak sekiranya dimakan bersama mantou goreng atau mantou kukus.

Ini kerana, kelembutan tekstur mantou membuatkan setiap suapan hidangan menjadi lebih enak.

Kedua-dua gabungan menu tersebut merupakan makanan paling laris di restoran Pondok Ketam di SS3, Petaling Jaya, Selangor.

Restoran berasaskan ketam itu merupakan cetusan idea tiga sahabat iaitu Vicknezan Selvadurai, Joanne Lim Meng Huay dan Md. Irwan Effandy Md. Salim.

Sementara bahagian dapur diterajui oleh cef berpengalaman iaitu Mohd. Saiful Othman dan Mohd. Daud Ahmad.

Menurut Mohd. Saiful, gabungan rempah-ratus Melayu dan teknik masakan Cina merupakan keunikan hidangan ‘signature chilli crabs’ di restoran tersebut.

“Kuah signature chilli crabs dibuat menggunakan rempah Melayu seperti serai dan cili hidup, kemudian dimasak menggunakan cara Kantonis iaitu ‘wok hay’.

“Teknik ‘wok hay’ menggunakan kuali dengan api sangat kuat bagi memperoleh kemantapan rasa dan aroma memikat selera,” katanya.

Berita baik buat penggemar ketam, restoran tersebut menawarkan lima saiz makanan laut yang diimport dari Indonesia.

Kategori saiz ketam adalah comel iaitu seberat 220 gram (g) untuk seekor, tembam (350g), besar (550g), gedabak (750g) dan gergasi (1.2 kg).

Bagi pelanggan yang mahukan hidangan seperti signature chilli crabs, tetapi tidak mahu rasa pedas, mereka boleh memesan ‘Singapore chilli crabs’.

MOHD. SAIFUL (kanan) bersama Vicknezan menunjukkan aneka juadah ditawarkan.

Pelanggan turut disarankan untuk mencuba buttermilk crabs yang berlemak, tetapi tidak rasa muak sama sekali.

Ciri-ciri masakan Melayu seperti serai, cili dan mentega diserasikan dengan rempah madras yang merupakan resepi masyarakat Cina.

Sementara hidangan ‘Spanish black pepper crabs’ pula memiliki keenakan rasa lada hitam, bawang putih, minyak zaitun Sepanyol dan mentega premium Perancis.

Untuk menambahkan lagi keenakan hidangan bersifat premium itu, pelanggan disaran menjamahnya bersama roti bun yang lembut dan gebu.

Dalam pada itu, Vicknezan berkata, ketam di situ diimport segar dari Indonesia pada setiap hari tanpa disejuk beku.

“Pada hujung minggu, kuantiti ketam pelbagai saiz yang diimport boleh mencecah sebanyak 400 ekor.

“Kebiasaannya, ketam-ketam ini akan dimasak dalam tempoh tiga hari bagi memastikan dagingnya kekal segar ketika dihidangkan kepada pelanggan,” jelasnya.

Selain makanan berasaskan ketam, pelanggan juga boleh merasai juadah yang pernah memenangi anugerah pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022.

Juadah yang diberi nama ikan siakap laksa Siam bersama mi sua tersebut sememangnya sesuai untuk dikongsi beramai-ramai.

Aneka pilihan makanan laut lain turut ditawarkan seperti udang harimau sambal Melaka, kam heong mussle pot, daging bakar terasi dan sotong salted egg. Sekiranya mahu mencabar deria rasa, anda boleh mencuba air kecil-kecil cili padi iaitu air soda yang direndam bersama cili padi.

Untuk makluman, restoran dibuka pada setiap hari dari 11.30 pagi hingga 11 malam.

Bagi membuat tempahan secara online, orang ramai boleh layari, www.ketam.delivery.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN