PENDANG – Pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini menjadi rumah kedua bagi kira-kira 25 keluarga di Kampung Banggol Besi di sini sejak 18 September lepas ekoran bencana banjir yang dianggap terburuk sejak 2021.
Lebih menyedihkan, fenomena banjir ‘termenung’ atau banjir lambat surut yang melanda kawasan itu mengakibatkan rumah kira-kira 50 penduduk terlibat digenangi air sepanjang tempoh tersebut.
Seorang mangsa, Norsalawati Sabu, 39, berkata, rumahnya dinaiki air secara mendadak sehingga paras pinggang apabila hujan bermula 16 September.
“Pada 18 September saya dan suami, Mohamad Rosdi Said, 45, serta enam anak kami terpaksa berpindah ke PPS di Kompleks Rakan Sukan. Kami duduk 12 hari selepas itu apabila PPS tutup kami keluar duduk homestay seminggu sebab nak balik rumah pun air belum surut. Pada 5 Oktober lepas kami kembali PPS semula sampai sekarang.
“Ini kejadian kedua terburuk. Kali pertama pada November 2021 banjir sebab musim tengkujuh. Kami duduk di PPS selama 24 hari. Boleh dikatakan PPS ini sudah jadi rumah kedua kami,” katanya ketika ditemui di Kampung Banggol Besi di sini semalam.
Kata staf operator pembersihan swasta itu, walaupun situasi yang melanda menjejaskan kehidupan seharian, namun mereka reda dengan bencana alam ini.
“Barang-barang memang rosak habis sebab digenangi air lama sangat. Anak-anak pun tak dapat ke sekolah dan semua menjejaskan kehidupan kami, tapi apa boleh buat. Kadang-kadang terpaksa redah juga walaupun risau kut ada haiwan berbisa,” ujarnya.
















