fbpx
Antara faktor yang menyumbang berlakunya kemalangan adalah cara pemanduan, isu penyelenggaraan kenderaan selain laluan berisiko seperti gelap, berbukit dan berselekoh.

Tiada lampu jalan, sampai bila?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Setiap bulan pasti ada insiden dilaporkan di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) berhampiran Bukit Tinggi dengan terbaharu pada 30 September lalu.

Kemalangan melibatkan lapan buah kenderaan itu begitu tragis kerana tiga nyawa melayang, manakala lima lagi mangsa cedera parah.

Antara faktor yang dilihat berlakunya kemalangan adalah cara pemanduan kenderaan termasuk aspek kelajuan atau penyelenggaraan kenderaan terutama kenderaan berat.

Penyumbang lain adalah keadaan kawasan berkenaan yang menuruni bukit dan berselekoh menyebabkan pemandu lebih terdedah kepada kemalangan.

Namun, satu lagi perkara yang dilihat menjadi isu utama di kawasan itu adalah masalah pencahayaan kerana tiada lampu jalan menyebabkan penglihatan pemanduan naik dan turun bukit di kawasan itu pada waktu malam agak terhad.

Sudah sekian lama pengguna mengeluh tentang laluan sempadan negeri Pahang selepas Terowong Genting Sempah yang tiada lampu jalan seperti dinikmati pengguna di laluan KLK di Selangor bermula daripada Plaza Tol Gombak hingga Terowong Genting Sempah.

Seorang pengguna yang berulang alik bekerja dari Bentong ke Kuala Lumpur dikenali Azrul berkata, setiap kali melepasi kawasan Terowong Genting Sempah dia sentiasa berasa ‘takut’ dan lebih berhati-hati kerana kawasan berkenaan gelap.

Katanya, apa yang dibimbangkannya ialah kenderaan tiba-tiba rosak dan terpaksa berhenti di tepi jalan laluan berbukit yang boleh mengundang bahaya pada bila-bila masa.

Menurut Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman, pihaknya telah membangkitkan isu mengenai lampu jalan di laluan tersebut selain menyerahkan surat kepada pihak berkaitan, namun ia masih tidak dipasang sehingga kini.

“Alasan pihak terbabit adalah pemasangan lampu jalan akan dibuat semasa kerja pembesaran jalan kelak. Bagaimanapun, isu itu sebenarnya perlu diatasi segera kerana melibatkan keselamatan orang ramai dan pengguna jalan raya,” katanya baru-baru ini.

Isu yang terus berlarutan sehingga menyaksikan banyak kejadian kemalangan jalan raya turut mendapat perhatian Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang diketahui merupakan raja berjiwa rakyat.

Baginda turut meminta pihak terbabit agar memasang lampu di setiap kawasan yang bersesuaian bagi mengelak kejadian tidak diingini daripada berlaku sehingga boleh menyebabkan kematian.

Seri Paduka turut meminta agar lebih banyak rondaan dilakukan oleh pihak berkuasa selain berharap agar setiap pengguna jalan raya sentiasa mengamalkan sikap berhati-hati agar tragedi kemalangan tidak terus berulang.

Semoga dengan titah tuanku ini dapat memastikan laluan Pahang tidak lagi bergelap berbanding laluan Selangor yang terang benderang.

Jangan tunggu sehingga berlaku lagi kemalangan dan ada yang hilang nyawa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN