TELUK INTAN – Seorang duda dijatuhi hukuman penjara 22 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan iaitu mencederakan dua individu termasuk teman wanitanya dan melakukan khianat pada Mei lalu.
Tertuduh, Mohamad Nazreen Sharani, 30, dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku bersalah bagi ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu yang juga bekas banduan didapati telah melakukan perbuatan khianat dengan memecahkan cermin hadapan kereta Proton Satria 1.3 GLI milik Muhammad Yang Nazrin Mohd. Ramli, 32, hingga menyebabkan kerugian sebanyak RM1,000.
Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan itu di Kampung Changkat Petai, Langkap di daerah Hilir Perak pada pukul 3 petang, 2 Mei 2024.
Bagi dua pertuduhan mendatangkan kecederaan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas Noor Hazura Kofli, 26, dan bersama dua lagi rakan yang masih bebas melakukan perbuatan sama terhadap Muhammad Yang Nazrin.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh di lokasi, tarikh dan masa yang sama. – KOSMO! ONLINE