fbpx
SUASANA di Masjid Jamek Cina Muslim Klang yang turut indah dengan seni bina Cina.

Masjid nuansa Cina, ikon baharu Klang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Kewujudan masjid era ini dengan seni reka bentuk tradisi Asia Barat, India, Barat serta ciri-ciri binaan Melayu asli sudah menjadi satu kelaziman di Malaysia khususnya di negeri Selangor.

Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam contoh terbaik yang memaparkan kesemua kombinasi seni reka bentuk masjid dari rantau atau negara-negara tersebut.

Namun, kewujudan Masjid Jamek Cina Muslim Klang yang merupakan cetusan idea Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kini menjadi ikon baharu bagi bandar raya diraja tersebut yang dibina mengikut seni bina Timur atau ‘oriental’ khususnya di negara China. Bangunan berinspirasikan Masjid Besar Xi’an iaitu antara masjid tertua di China menjadi tumpuan saat ini.

Tersergamnya masjid baharu di Bandar Botanik Klang itu bukan sahaja ‘menyerikan’ kawasan yang pesat membangun dengan bangunan komersial, malah ia dianggap lokasi pelancongan terkini yang tular di media sosial.

Menurut Pengurusnya, Mujahid Muhamad Zan, sejak dibuka untuk umum pada 22 Ogos lalu, ia telah dikunjungi oleh ribuan pelancong luar dan domestik yang terpesona dengan seni bina luaran dan dalaman masjid tersebut.

“Keunikan seni bina masjid ini yang mendapat inspirasi masjid di Xi’an menyebabkan pengunjung teruja untuk bergambar.

“Sememangnya telah ramai pengunjung tempatan dan luar yang datang ke sini bersama keluarga dan ada juga rombongan kumpulan tertentu yang hadir untuk melihat sendiri keindahan masjid ini,” katanya.

Mujahid, 28, berkata, masjid yang berkapasiti 1,000 jemaah itu sudah mula beroperasi untuk ibadah solat lima waktu berjemaah dan solat Jumaat sejak dibuka.

Mujahid yang juga merupakan Imam Satu masjid tersebut memberitahu, Masjid Jamek Cina Muslim Klang adalah masjid keenam dalam kategori tersebut di negara ini.

Bagi mengimarahkan masjid tersebut jelasnya, pihak masjid turut mengadakan aktiviti-aktiviti ceramah dan kelas pengajian selepas solat maghrib terutama pada malam Jumaat dan hujung minggu.

“Sebagai sebuah institusi masjid kita berada di bawah kawal selia Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan umat Islam perlu mematuhi peraturan-peraturan yang digariskan.

“Apa yang penting kita menggalakkan umat Islam, bukan sahaja orang Melayu, Cina dan India menunaikan solat jemaah, malahan semua umat Islam pelbagai bangsa dan latar belakang memenuhi saf di masjid ini,” katanya.

Sebagai generasi muda, Mujahid berkata, pelantikannya sebagai Pengurus Masjid dan Imam Satu menuntut komitmen yang tinggi memandangkan masjid unik tersebut masih baru beroperasi.

Buat masa ini jelasnya, segala program berjalan lancar dan harapannya semua pihak terutama umat Islam setempat sentiasa menyokong penuh program yang diadakan bagi mengimarahkan masjid baharu itu.

“Buat masa ini pengunjung yang datang menguar-uarkan dan menularkan kunjungan mereka ke sini, di samping memaparkan imej dalaman dan luaran masjid di laman media sosial masing-masing.

“Media seperti televisyen dan akhbar juga berperanan melaporkan keberadaan masjid ini. Ia menandakan perkembangan yang positif institusi masjid sebagai wadah menyatukan masyarakat,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai pembinaan masjid di laluan Klang-Banting itu, arkitek masjid tersebut, Ar. Muhammad Ridha Lua memberitahu, luas kawasan masjid tersebut adalah 1.2 hektar dan luas struktur bangunan adalah 30,000 kaki persegi.

Salah satu sudut di masjid yang diserikan dengan landskap kolam.

Muhammad Ridha berkata, keindahan dan ciri unik Masjid Besar Xi’an merupakan faktor utama menyebabkan Sultan Selangor menitahkan reka bentuk Masjid Jamek Cina Muslim Klang mengambil ilham rekaan masjid di China tersebut.

“Baginda mengarahkan pihak kami ke Xi’an untuk mengkaji masjid besar itu selepas tidak berkenan dengan reka bentuk awal yang dipersembah pada 28 November 2018.

“Baginda menasihatkan pasukan saya pergi ke Xi’an untuk melaksana kajian kes supaya dapat menjiwai nilai seni bina masjid di China.

“Bagi memastikan reka bentuk masjid mencapai sasaran yang ditetapkan, pasukan saya harus melihat sendiri reka bentuk masjid berkenaan secara fizikal,” katanya.

Jelasnya, delegasi negeri termasuk arkitek melawat Masjid Besar Xi’an yang berusia 1,282 tahun itu di Wilayah Shaanxi dan beberapa masjid lain China antara 12 hingga 17 Mac 2019 sebelum membentangkan cadangan baharu kepada Sultan Selangor pada 7 Mei tahun sama.

Pada sesi tersebut katanya lagi, cadangan reka bentuk tersebut diperkenan dan projek telah diteruskan.

“Alhamdulillah, baginda juga menasihatkan agar landskap masjid konsisten dengan tema seni bina tradisional Cina.

“Baginda menitahkan agar masjid ini satu-satunya berciri seni bina Cina di Selangor. Titah baginda agar saya dan pasukan saya lakukan dengan sebaiknya,” ujarnya.

Muhammad Ridha memberitahu, masjid baharu tersebut mempunyai menara unik selain dilengkapi dewan solat berbumbung jubin tradisional Cina, manakala kaligrafi Cina menghiasi ruang mihrab.

Tambahnya, masjid empat tingkat bernilai RM30 juta itu menyediakan pelbagai kemudahan antaranya perpustakaan, bilik kuliah, bilik persinggahan, kedai cenderamata dan restoran.

“Kerajaan negeri Selangor dan Persatuan Cina Muslim Malaysia membiayai pembinaannya selain sumbangan orang ramai.

“Pembinaannya menjadi realiti selepas Sultan Sharafuddin memberi perkenan pada Mei 2019,” jelasnya.

Mengulas mengenai tulisan di tembok masjid yang bertentangan pintu masuk utama, dia berkata, ia adalah tulisan teks khutbah terakhir Nabi Muhammad SAW dalam bahasa Melayu, Cina, Inggeris dan Arab.

Selain itu katanya, atap masjid dipasang dengan jubin bumbung yang diimport khusus dari China.

“Jubin bumbung, pintu gerbang dan tembok nama masjid turut menggunakan elemen tradisional reka bentuk Cina.

“Dalam masjid jamek ini juga tersergam menara dikenali Menara Cahaya Bulan setinggi 18 meter.

“Atapnya berbentuk ‘hip roof’, tidak sama dengan menara Masjid Besar Xi’an berbentuk pagoda,” katanya.

Ujar Muhammad Ridha, seni bina masjid jamek itu tidak sepenuhnya mengikut reka bentuk Masjid Besar Xi’an kerana perlu disesuaikan cuaca, undang-undang kecil di Malaysia serta peruntukan projek.

Katanya, masjid sebagai pusat pendidikan, komuniti dan ibadah memerlukan komitmen ahli kariah untuk ‘menghidupkannya’ sepanjang masa.

“Harapan saya umat Islam tidak datang ke masjid ini semata-mata kerana keindahan reka bentuk.Hadirlah untuk menunaikan solat dan mengikuti pengajian agama, sesungguhnya itulah tujuan hakiki ia dibina,” katanya penuh makna.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN