PETALING JAYA –Minggu orientasi yang merapu dan ‘syok sendiri’ tidak lagi relevan dilakukan pada zaman sekarang kerana boleh membunuh semangat pelajar baharu untuk meneruskan pengajian di universiti.
Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Salleh Amat berkata, pengisian program minggu orientasi perlu diubah selaras dengan peredaran zaman dan kematangan pelajar.
“Pengisian jangan ‘kebudak-budakan’ kerana universiti bukan lagi macam asrama penuh. Aktiviti minggu orientasi perlu diubah kerana zaman sekarang jauh berbeza dengan dahulu.
“Aktiviti biarlah bermakna supaya pelajar-pelajar baharu ada memori yang menyeronokkan, bukan menyakitkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Beliau yang juga Pengarah Pusat Pembangunan Karier UKM berkata, bukan semua pelajar yang baru mendaftar itu berpengalaman di sekolah berasrama atau kolej, jadi aktiviti ‘merapu’ pasti memberi kesan terhadap emosi dan mental mereka.
“Wujudkan suasana positif. Nama pun minggu orientasi, minggu penyesuaian diri. Jadi kalau dalam tempoh itu mereka ‘sentap’ dengan aktiviti merapu, saya fikir kurang wajarlah.
“Ia akan tinggalkan impak buruk untuk mereka terus belajar. Mereka jauh dari keluarga, kini dalam tempoh menyesuaikan diri dengan suasana kampus dan kawan baharu,” ujarnya.
Bagi mengelakkan perkara itu berlaku katanya, pasukan fasilitator yang dibentuk bersama pihak pengurusan universiti perlu duduk bersama dan mengkaji serta berbincang mengenai aktiviti atau pengisian yang bakal dibuat sebelum diluluskan.
Ujar beliau, pelaksanaannya pula hanya perlu dibuat berdasarkan modul yang sudah dipersetujui dan diluluskan.
“Memang kena bincang dan bentangkan satu persatu dengan teliti. Wajib buat jika tidak, silap langkah kena tanggung risiko yang boleh merosakkan nama baik universiti,” tambahnya.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Ali Karimi Mohd. Nasri menegaskan, pelajar-pelajar baharu sepatutnya dilayani sebagai orang dewasa, bukan ‘anak-anak tadika’.
Menurutnya, minggu orientasi adalah ‘survival kit’ buat golongan itu, yang perlu dipenuhi dengan slot-slot intelektualism.
Katanya, ia akan membuatkan mereka rasa bersyukur apabila terpilih melanjutkan pengajian, sekali gus menyemarakkan semangat menuntut ilmu.
“Ia juga perlu disulami dengan perkongsian penting dalam meneruskan kehidupan sebagai mahasiswa.
“Namun hari ini, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Sekadar berfokuskan pengenalan kepada servis-servis pejabat tertentu di universiti dan diselangi aktiviti permainan tidak matang selain mungkin sedikit ucapan orang kenamaan universiti,” katanya.
Tambahnya, pengurusan universiti juga tidak sepatutnya lepas tangan dalam minggu orientasi, sebaliknya perlu memastikan slot yang diuruskan oleh senior di universiti, bertepatan.
“Minggu orientasi tidak wajar dimansuhkan, tetapi perlu ditambah baik dengan kandungan yang boleh menggalakkan budaya intelektualisme dan idealisme mahasiswa.
“Fasilitator minggu orientasi sewajarnya menunjukkan contoh baik, melayani pelajar baharu seperti orang dewasa,” tegasnya.
Baru-baru ini tular satu rakaman video yang memaparkan suasana kecoh di sebuah dewan universiti awam semasa sesi orientasi dengan pelajar baharu.
Situasi itu memperlihatkan tindakan fasilitator Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat yang membuat ‘prank’ kejutan bagi menyambut hari jadi seorang daripada kumpulan mereka ketika sesi orientasi tersebut.
Bagaimanapun, tindakan itu mendapat kecaman pelbagai pihak termasuk pensyarah yang menyifatkan pendekatan seperti itu sudah tidak sesuai diaplikasikan pada zaman ini.
Ekoran itu, fasilitator UiTM Segamat tampil membuat permohonan maaf dan mengakui idea untuk melakukan ‘prank’ tersebut tidak sesuai untuk dilakukan semasa sesi tersebut berlangsung. -KOSMO! ONLINE















