fbpx
Syahiran menunjukkan dua ekor ikan loban yang berjaya ditawannya dalam kunjungan ke Bagan Lalang baru-baru ini.

K2

Buru ikan loban guna roti putih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JIKA disebut ikan belanak, mungkin ramai antara kita khususnya kaki pancing yang mengenalinya.

Saiznya yang agak kecil sangat sesuai untuk dijadikan umpan hidup terutama bagi memburu spesies ikan pelagic iaitu ikan pemangsa yang kerap bermain di permukaan air untuk memburu mangsa.

Namun, tahukah anda bahawa ikan belanak yang mencapai saiz lebih besar tidak lagi disebut ikan belanak, malah ia lebih dikenali sebagai ikan loban.

Ikan loban atau nama saitifiknya Ellochelon vaigiensis turut digelar dengan nama ikan kedera, takuk atau kemurak dalam kalangan kaki pancing dan nelayan.

Ikan berkenaan sememangnya diakui mempunyai rasa yang sangat sedap dan sesuai untuk dimasak dalam pelbagai bentuk hidangan terutama dimasak stim limau atau dimasak tiga rasa.

Bagaimanapun, memburu ikan loban bukanlah semudah yang disangka kerana spesies ikan berkenaan dikatakan mempunyai kebijaksanaan dan kelincahannya dalam memburu mangsa untuk dijadikan makanannya.

Perkara itu diakui seorang kaki pancing, Muhammad Syahiran Shair, 32, yang sudah lebih 10 tahun menjadi kaki pancing tegar. Dia yang merupakan anak jati Sungai Petani, Kedah dan kini menetap di Kajang, Selangor berkata, ikan loban merupakan antara spesies yang sukar untuk diburu.

“Walaupun sukar kerana ikan loban dianggap ikan yang pintar, namun untuk memburunya sebenarnya tidaklah terlalu susah.

“Terdapat beberapa teknik yang boleh digunakan oleh kaki pancing untuk menjinakkan ikan loban ini terutama dari segi umpan. Malah, seseorang kaki pancing itu juga harus tahu lokasi yang menjadi lubuk loban selain waktu yang sesuai untuk memburunya,” katanya.

Menurut Syahiran, bagi memburu ikan loban, dia kerap berkunjung ke Bagan Lalang di Sepang, Selangor dan menjadikan kawasan sekitar muara sebagai lokasi untuk memancing.

Jelasnya lagi, jika berkunjung ke kawasan berkenaan, dia akan memancing di atas jeti persendirian milik nelayan di kawasan itu dengan bayaran serendah RM5 bagi sebatang joran untuk tempoh seharian memancing.

“Baru-baru ini saya ada ke muara Bagan Lalang untuk memancing dan kebiasaannya saya akan menggunakan roti putih sebagai umpan untuk memburu ikan loban.

Roti putih dijadikan umpan untuk memburu ikan loban.

“Roti berkenaan akan dipotong empat dan dibuang bahagian tepi sebelum dikepal dan dicangkuk pada mata kail.

“Untuk menarik minat ikan loban membaham umpan, biasanya saya akan menggunakan semburan minyak khas pada kepala roti sebagai perangsang,” ujarnya.

Katanya, bagi memburu ikan loban di muara Bagan Lalang, dia biasanya akan menggunakan ‘teknik dasar’ dengan penggunaan apollo dua mata.

Selain itu, kata Syahiran, dia juga menggunakan teknik pelampung sekiranya teknik dasar kurang berkesan menarik minat ikan pada waktu berkenaan.

Untuk mendapatkan rasa seronok ketika umpan dibahan ikan, dia akan menggunakan set joran aksi sederhana dengan panjang enam kaki dan dipadankan dengan mesin bersaiz 1000 atau 2000.

Set joran tersebut akan dipadankan dengan tali utama bersaiz 20 paun dengan penggunaan tali perambut bersaiz 30 paun.

“Berdasarkan pengalaman saya, waktu sesuai untuk memburu ikan loban adalah pada waktu awal pagi dan lewat petang.

“Ikan loban juga sangat aktif mencari makan pada waktu air mula surut atau mula pasang.

“Jika kena gayanya, kita boleh dapat ikan loban bersaiz lebih sekilogram seekor,” katanya.

Ditanya mengenai hasil yang diperoleh pada trip ke Bagan Lalang baru-baru ini, Syahiran berkata, dia memperoleh enam ekor ikan loban bersaiz lebih sekilogram setiap seekor, selain beberapa spesies ikan lain.

Kesemua ikan berkenaan katanya, dibawa pulang untuk dijadikan hidangan keluarga selain turut diberi kepada rakan dan jiran.

“Jika dapat ikan loban, semestinya saya akan membawanya pulang untuk dimasak kerana isi ikan loban antara yang tersedap pernah saya rasai.

“Biasanya saya akan menggorengnya dan dituang sambal pedas sebagai hidangan seisi keluarga,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN