fbpx
CEF BOB (tengah), Cef Firdaus (kanan) serta Cef Marissa Umairah Mohd. Nazri menunjukkan sijil dan pingat perak yang dimenangi mereka kepada K2 baru-baru ini. Malaysia merupakan satu-satunya negara Asia Tenggara yang meraih pingat dalam pertandingan melibatkan chef profesional itu.

Chef Malaysia genggam dua perak Olimpik kulinari, setanding AS, Jerman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MALAYSIA sememangnya terkenal sebagai salah satu destinasi pelancongan pilihan dengan makanan enak.

Bukan setakat juadah kita diiktiraf lazat di peringkat antarabangsa, bahkan cef-cef tanah air juga terbukti hebat dalam menyediakan masakan.

Baru-baru ini, sekumpulan cef berbakat mengharumkan nama negara apabila berjaya meraih dua pingat perak dalam Sukan Olimpik Kulinari 2024 yang berlangsung di Stuttgart, Jerman.

Pasukan Kulinari Malaysia diwakili 18 orang cef Malaysia bertanding di bawah Persatuan Ahli Kulinari Profesional Malaysia memenangi dua pingat perak masing-masing dalam kategori Restaurant of Nations dan Chef’s Table.

Sukan Olimpik Kulinari ialah pertandingan yang diadakan setiap empat tahun sekali di mana para chef terkemuka dunia berkumpul untuk menunjukkan penguasaan dalam seni masakan masing-masing.

Sukan Olimpik Kulinari 2024 disertai pasukan masakan profesional dari 55 buah negara dari seluruh dunia yang menyediakan menu-menu fusion.

Menariknya, hanya Malaysia satu-satunya negara dari Asia Tenggara yang berjaya meraih pingat dalam pertandingan tersebut.

Pasukan Kebangsaan Malaysia telah ditaja dan disokong oleh Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dengan kerjasama Nonosugar Health Tech Sdn. Bhd. (Nonosugar Health Tech) dan beberapa penderma swasta lain.

Sebahagian 18 cef Malaysia yang membawa cabaran negara dalam Sukan Olimpik Kulinari 2024.

Biarpun pertandingan itu telah berlangsung pada Februari lalu, namun satu majlis meraikan para pemenangnya diadakan bulan lalu dengan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar berkenan mencemar duli menghadiri majlis makan malam disediakan Zuan Yuan Chinese Restaurant, Hotel One World, Petaling Jaya, Selangor itu.

Berkongsi perjalanan pasukannya sehingga meraih perak, Presiden Persatuan Kulinari Profesional Malaysia, Cef Bob Adnin, 48, berkata, pasukannya membuat persiapan yang agak panjang sebelum menyertai acara berprestij itu.

“Jika bercakap tentang persiapan, persiapan sebenar mengambil masa sekitar dua tahun yang mana merangkumi proses kami mengumpulkan ahli-ahli persatuan yang menunjukkan minat dan serius mahu bertanding. Ia memakan masa yang agak panjang kerana masing-masing terlibat dengan komitmen tersendiri, malah ada juga yang bekerja di luar negara, sekali gus menyukarkan proses latihan dan sebagainya.

“Bagi proses latihan seperti perangkaan menu dan juga workflow pula, kami berlatih pada setiap Ahad di Kolej Universiti Sunway selama hampir satu tahun. Workflow ini amat penting kerana setiap chef perlu tahu stesen kerja mereka bagi memastikan semua aspek berjalan lancar sewaktu pertandingan,” katanya.

Aspek yang diambil kira dalam penjurian adalah seperti rasa, workflow, persembahan dan pengurusan masa.

“50 peratus adalah rasa dan selebihnya aspek lain meliputi cara kerja, persembahan menu yang disediakan dan juga masa,” katanya.

Tambahnya, pasukan yang memberikan saingan sengit pula adalah daripada kumpulan negara-negara Scandinavia seperti Norway, Finland, Iceland dan Sweden yang juga merupakan negara-negara berjaya merangkul pingat emas bagi kedua-dua kategori yang dipertandingkan.

Malaysia turut setanding negara-negara lain seperti Amerika Syarikat dan Jerman apabila meraih dua perak.

Negara yang meraih satu perak dan satu gangsa antaranya ialah Australia, Estonia dan Cyprus, manakala dua gangsa pula Sepanyol dan Slovakia.
Pingat diberikan berdasarkan skor.

Antara sajian yang dihidangkan oleh pasukan cef Malaysia bagi kategori Chef’s Table semasa mereka bertanding pada Sukan Olimpik Kulinari 2024 di Jerman baru-baru ini.

Kategori Chef’s Table memerlukan penyediaan set makanan di meja, manakala Restaurant of Nations penyediaan makanan untuk bilangan tetamu tertentu.

Kedua-dua kategori disertai 18 cef berkenaan.

Sementara itu, Cef Firdaus Atan Din, 35, dari Hotel Westin Kuala Lumpur pula berkongsi, bagi kategori Restaurant of Nations yang dipertandingkan, setiap pasukan perlu menyediakan masakan buat 110 orang.

“Masakan buat 110 orang itu adalah jumlah yang ditetapkan bagi pertandingan ini. Bagi penyediaan menu pula, sebagai contoh, appetizer haruslah ikan atau makanan laut yang dimasak sama ada seadanya (alone) atau sebagai kombinasi bersama bahan lain.

“Bagi menu utama pula, ia haruslah berasaskan daging sama ada putih atau merah dan perlu mengandungi tiga elemen berbeza.

“Untuk menu ini, kami menyediakan Kelulut Honey Duck Breast, Porcini Scented Foie Gras, Presse Potato, Savarin Duck Fricassee, Duck Ventreche, Wilted Baby Roots dan Madeira Glace bagi mematuhi syarat penyediaan menu.

“Bagi pemanis mulut pula, tidak dibenarkan menggunakan gula dan rasa manis haruslah datang daripada bahan lain seperti madu,” jelasnya.

Salah satu menu menarik yang disediakan cef Malaysia bagi kategori Restaurant of Nations.

Kejayaan itu sememangnya menjadi kenangan manis buat pasukan kerana telah membanggakan negara dalam dunia masakan. Begitupun, ia tentu sekali datang dengan cabaran.

Imbas Bob, cabaran utama adalah dari segi dana memandangkan dia terpaksa membawa seramai 18 orang ahli bagi menyertai satu pertandingan di Eropah yang tentu sekali menelan belanja yang besar.

Selain itu, mereka juga berdepan cabaran logistik, kerana perlu mengambil kira kesemua bahan mentah yang perlu disediakan siap-siap dari Malaysia.

“Beberapa bahan masakan sudah semestinya lebih mudah jika dibawa terus dari Malaysia. Sebagai contoh, serai. Ya, di Jerman ada juga jual serai, namun harganya pasti jauh lebih tinggi, apatah lagi pertandingan dibuat semasa musim sejuk yang mana banyak bahan mentah sukar diperoleh pada musim itu,” katanya.

Ujar Bob, pasukannya sebenarnya amat berharap dapat memenangi emas.

“Sejujurnya untuk setiap pertandingan, tentu sekali kami mengharapkan akan membawa pulang pingat emas, apatah lagi apabila mengenangkan pasukan kami sudah menjalani latihan bersungguh-sungguh selama hampir setahun.

“Kami sanggup mengorbankan waktu bersama keluarga pada setiap hujung minggu dan waktu perayaan serta bertanding sejauh 10,000 kilometer dari Malaysia, jadi sudah tentu kami harapkan kemenangan buat pasukan.
“Begitu pun, kami tetap bersyukur jika rezeki kami adalah pingat perak, memandangkan mata kami juga tidak jauh dengan pasukan yang merangkul pingat emas,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN