BAGI mereka yang bakal bergelar raja sehari, pemilihan busana pengantin yang tepat adalah cukup penting bagi memastikan hari bahagia itu berjalan dengan lancar.
Pemilihan baju pengantin juga tidak seharusnya dilakukan secara semberono atau tergesa-gesa kerana banyak faktor yang perlu diambil kira sebelum menempah sepasang baju pengantin.
Antaranya termasuk mengenal pasti gaya yang dimahukan, menyesuaikan baju pilihan dengan bajet dan juga mengambil kira keselesaan baju tersebut untuk dipakai seharian.
Pereka fesyen yang juga pengasas label Teruntum Putih, Muhammad Ridzuan Alias, 33, berkata, sebagai pengasas sebuah label busana perkahwinan, dia menawarkan seleksi busana rekaan klasik dan moden kepada bakal pengantin, tanpa memfokuskan kepada apa-apa gaya signatur.
Ujar anak kelahiran Ampang, Selangor itu, ini memandangkan kebanyakan rekaan yang dihasilkannya adalah bersifat menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada satu-satu gaya.
“Buat masa ini, kami tidak hanya memfokuskan pada satu gaya tertentu, namun busana yang dihasilkan lebih bersifat menyeluruh. Ini kerana kami mahu menawarkan pelbagai rekaan daripada busana klasik sehinggalah rekaan yang lebih moden sebagai memberi banyak pilihan kepada pelanggan,” katanya.
Cerita Muhammad Ridzuan, pada awalnya Teruntum Putih merupakan label pakaian yang diasaskannya secara dalam talian bagi menawarkan busana pengantin ready-to- wear pada harga berpatutan.
“Pada mulanya, saya mengasaskan jenama ini secara dalam talian sepenuhnya dan hanya menyediakan busana pengantin ready-to-wear. Begitu pun, selepas melihat koleksi ini mula dikenali ramai, maka kami nekad untuk turut menawarkan khidmat tempahan buat pelanggan bagi memenuhi cita rasa mereka,” katanya.
Rona lembut seperti putih dan coklat cair mendominasi koleksi ready-to-wear Teruntum Putih.
Namun, selaku pereka, Muhammad Ridzuan juga memberi kebebasan buat pelanggannya untuk memilih sendiri fabrik dan warna pilihan untuk digayakan pada hari perkahwinan.
Muhammad Ridzuan menghasilkan pelbagai busana buat pengantin perempuan seperti kebaya, kurung Kedah dan juga kurung Pahang yang diberi sentuhan tersendiri bagi menyerlahkan gaya seorang wanita tatkala bergelar raja sehari.

Seleksi busana klasik rekaan Muhammad Ridzuan itu turut diberi sentuhan moden, sebagai salah satu pendekatannya untuk menarik minat pelanggan memilih untuk menggayakan pakaian Teruntum Putih.
Antara rekaan menarik yang diperkenalkan Muhammad Ridzuan adalah busana mini kurung dengan kemasan sulam kerawang goyang sebagai mengangkat kembali sulaman klasik itu bagi pakaian raja sehari.
“Sulaman tangan sebegini semakin kurang diberi perhatian dan oleh sebab itu saya mahu mengangkatnya semula dalam busana yang dihasilkan,” katanya.
Jika dilihat, Muhammad Ridzuan menggabungkan elemen klasik seperti sulaman kerawang bersama baju kurung potongan moden. Hasilnya, pengantin tampak ayu dan sopan, namun masih trendy dan mengikut peredaran semasa.
Bercakap tentang sumber inspirasinya dalam rekaan fesyen, Muhammad Ridzuan berkata, dia menjadikan pereka terkenal seperti Oscar de La Renta dan juga jenama-jenama terkemuka seperti
Dior dan Mugler sebagai inspirasi dalam mewujudkan Teruntum Putih.
“Bagi saya, nama-nama ini cukup gah sebagai pereka yang banyak menghasilkan rekaan yang mengikut trend semasa. Malah, kekemasan bagi setiap busana yang dihasilkan itu menjadi inspirasi dan saya berhasrat untuk menerapkan elemen itu dalam setiap rekaan Teruntum Putih,” katanya.














