fbpx
Joe menunjukkan ikan red snapper yang ditangkap semasa memancing di laut Semporna, Sabah.

K2

Joe Aziz tak lokek kongsi ilmu memancing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBELUM memulakan perjalanan menaiki bot untuk memancing di laut, pemuda itu akan meminum air garam bagi mengelakkan ‘mabuk laut’.

Itu merupakan petua turun-temurun yang dilakukan sekurang-kurangnya sejam sebelum memulakan trip memancing.

Menurut pempengaruh dan pemilik kedai alat pancing dan madu, Joe Aziz, 40, memancing sudah menjadi hobinya sejak zaman kanak-kanak, seawal usia tujuh tahun.

“Minat memancing saya dipupuk oleh bapa saudara yang mengajar saya tentang hobi ini sejak kecil.

“Dia juga yang banyak berkongsi ilmu tentang memancing termasuk petua supaya tidak mabuk laut ketika turun ke laut,” katanya ketika ditemui K2 di premis perniagaannya di Banting, Selangor baru-baru ini.

Tambahnya, meskipun bermula awal, dia tidak melakukan hobi tersebut secara serius sehingga mencapai umur 25 tahun. Setelah itu, dia mula bergiat secara serius dalam dunia memancing sehingga menjadikannya sebagai kerjaya pada tahun 2013.

Katanya, selepas bergiat secara profesional, dia sudah berkunjung ke banyak lubuk memancing sama ada laut atau air tawar di seluruh Malaysia dan juga negara jiran.

Jelasnya, kunjungan ke pelbagai jenis lubuk di Malaysia telah memberikannya pelbagai pengalaman dan cabaran dalam usahanya meraih hasil tangkapan.

“Setiap lubuk ada persekitaran tersendiri dan beri cabaran berbeza buat pemancing serta penggunaan teknik mengikut kesesuaian lokasi.

“Sebagai contoh di air masin, laut di Klang, Selangor dan Terengganu tidak sama dari segi permukaan dasar, keadaan cuaca, malah saiz dan jenis ikan yang dominan di sana juga berlainan,” ujar bapa seorang cahaya mata itu.

Kongsinya lagi, perbezaan itu juga memerlukan penggunaan teknik berlainan dan keperluan kepada kelengkapan bersesuaian mengikut lokasi memancing.

Berkongsi pengalaman memancing di Satun, Thailand, Joe memberitahu, laut di sana berbeza dengan laut tempatan.

Joe menunjukkan tangkapan ikan yang diperoleh semasa di mengikuti trip memancing di Satun, Thailand.

“Thailand menjadikan memancing sebagai salah satu tarikan pelancongan di sana dan mereka memfokuskan penjagaan lokasi khusus buat memancing dengan menjaga ekosistem serta tidak membenarkan nelayan menangkap ikan di kawasan tersebut.

“Jadi, di setiap lubuk pemancing ada peluang yang baik untuk mendapat hasil tangkapan,” jelasnya.

Dalam trip tersebut, Joe mengikuti kumpulan seramai 30 orang yang dibahagikan kepada tiga kumpulan seramai 10 orang dalam satu bot.

Di sana mereka dibawa ke kira-kira 15 lubuk terumbu dan tukun di perairan Satun oleh tekong yang juga sangat berpengalaman dan membantu dengan berkongsi tip untuk memancing ikan.

Antara tangkapan yang berjaya diperoleh adalah ikan jenahak, kerapu, cencaru, selayang dan lain-lain.

Bagi tip memancing pula, Joe memberitahu, sebagai pemancing perlu untuk belajar tentang teknik yang betul sama ada dalam casting, jigging atau bermain dasar.

Umpan juga memainkan peranan kerana setiap lubuk, ikan mempunyai selera berbeza.

“Kalau di laut biasanya umpan yang mujarab adalah sotong hidup kerana ikan di situ hidup liar dan rantaian makanannya adalah sumber semula jadi.

“Kalau lubuk darat, diet ikan berbeza, sebab itu ada umpan buatan seperti dedak kerana ikan di situ sudah makan dengan pelbagai menu yang menjadikan seleranya berubah-ubah,” kongsinya.

Selain itu, peralatan yang betul juga memainkan peranan dan pemancing perlu arif dengan kesesuaian mengikut lubuk yang dikunjungi.

Sebagai contoh, untuk laut dalam (bermain dasar), penggunaan mesin yang betul boleh memudahkan pemancing untuk menawan ikan.

“Hari ini ada pelbagai mesin yang boleh digunakan dan mesin elektronik amat membantu dalam memudahkan pemancing. Ini berikutan cabaran ikan laut dalam amat berbeza, belum lagi saiznya yang lebih besar tetapi pada masa sama ia juga lebih agresif berikutan kebanyakannya merupakan spesies pemangsa,” katanya lagi.

Namun begitu, perkara paling asas sebagai pemancing adalah sifat untuk sentiasa ingin belajar teknik dan ringan mulut untuk bertanya dengan orang lama serta tekong bot.

Kongsinya, pemancing perlu rajin bertanya dengan tekong kerana mereka lebih arif kawasan masing-masing.

Sementara bagi orang lama, mereka sudah banyak pengalaman dan dari itu pelbagai teknik sudah dipelajari serta boleh dikongsi jika pemancing ringan mulut menyua soalan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN