Kecoh, heboh pasal IShowSpeed datang Malaysia minggu lalu. Walaupun datang sehari ia cukup ‘menggegarkan’ namanya di negara ini apabila ramai generasi lahir tahun 70-an yang tidak mengenali nama besar dunia YouTube itu sudah mula kenal.
Bagi jenama dirinya di sini nama IShowSpeed melonjak-lonjak apabila mendapat liputan media dan hampir pecahlah Kuala Lumpur apabila anak-anak muda mengejarnya sana sini.
Personaliti sensasi dan penstrim dalam talian dari Amerika Syarikat, IShowSpeed berada di rantau ini sempena siri jelajah sulungnya ke Asia Tenggara.
Pemilik nama sebenar Darren Jason Watkins Jr. sebelum itu telah berkunjung ke Vietnam, Kemboja serta Thailand dan kemudian meneruskan perjalanan ke negara ini.
Dia mengakhiri siri jelajah tersebut, yang bermula dari 14 hingga 22 September ini di Singapura kelmarin.
Menariknya ketika di Singapura, IShowSpeed sempat buat pusingan U kembali ke Malaysia dengan singgah di Johor untuk bertemu Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan pusing-pusing Stadium Sultan Ibrahim.
Karektor IShowSpeed ini agak gila-gila melalui video YouTube yang mempunyai 31.8 juta pengikut, dia suka menyalak seperti anjing dan makan berterabur. Itulah perangai gila-gilanya yang disukai oleh kanak-kanak dan remaja di seluruh dunia.
Setiap kali siri jelajah di beberapa negara IShowSpeed akan melakukan siaran langsung di YouTube, malah ketika di Malaysia dia ditonton hampir 10 juta orang dan ketika di Indonesia ditonton lebih 20 juta dalam setiap satu siri video.
Tengok-tengok di media sosial, ramai pempengaruh di negara ini agak kecewa apabila lelaki berusia 19 tahun ini hanya dibawa ke tempat yang tidak mencerminkan rakyat Malaysia apabila makan nasi goreng di premis francais negara lain dan drift kereta.
Ramai berpendapat peluang keemasan untuk mempromosikan Malaysia dipersia-siakan apabila ditonton secara langsung oleh 10 juta orang di dunia ketika itu.
Apa yang dipertontonkan oleh pengikutnya adalah tercekik makan musang king dan ‘merempit’, keadaan itu berbeza IShowSpeed di Indonesia apabila pelbagai budaya dihidangkan kepada lelaki itu ketika di Bali dan Jogjakarta.
Sepatutnya bawa IShowSpeed makan roti canai biar dia cuba roti cicah kari.
IShowSpeed di Indonesia telah memuji Bali sebagai kawasan yang tenang, dia juga diajar mencanting batik dan membuat kopi. Troll ayatnya di sana ‘minggir kamu miskin’.
Untung Indonesia dapat promosi ‘percuma’ IShowSpeed.














