IPOH – Dua rakan baik hampir berputus asa untuk meneruskan perniagaan pengeluaran produk sabun mereka akibat ancaman Covid-19 dan masalah kewangan beberapa tahun lalu.
Pengalaman itu dialami oleh Mohammad Firdaus Pathi dan Muhammad Nadhir Zamziba, yang memulakan perusahaan mereka pada awal tahun 2020 dengan mengeluarkan produk sabun pencuci pakaian, pencuci pinggan, pencuci lantai serta pelbagai lagi berjenama 5CLEAN.
Nasib tidak menyebelahi mereka pada waktu itu apabila sebaik sahaja memulakan pengeluaran produk, dunia dilanda Covid-19.
“Pelaksanaan arahan kawalan pergerakan serta perintah-perintah bagi menangani penularan wabak ini memberikan cabaran kepada kami, terutama untuk memasarkan produk,” kata Mohammad Firdaus kepada Kosmo!
Dua pemuda itu bagaimanapun dapat mengatasi kesukaran tersebut apabila berjaya mendapatkan kebenaran pergerakan, sekali gus berupaya membaiki potensi peluang perniagaan serta meningkatkan permintaan produk.
Seperti ungkapan disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari, mereka sekali lagi ditimpa malang apabila diuji dengan kemampuan dari segi modal.
“Aliran tunai yang makin laju serta kenaikan bahan mentah mendadak memaksa kami berjumpa dengan pelabur, agensi-agensi dan pihak bank untuk mencari dana.
“Prosesnya tak mudah. Kebanyakan mereka menolak kerana perniagaan kami masih terlalu baharu dan tiada rekod prestasi yang meyakinkan.
“Kami hampir putus asa, tapi kami tahu kalau kami berhenti di sini, kami akan gagal selama-lamanya,” katanya yang menubuhkan Rayyan Group Industry (M) Sdn. Bhd. bersama Muhammad Nadhir.
Mereka akhirnya berjaya mendapatkan sokongan daripada Sekretariat Usahawan Negeri Perak dan SME Corp Perak, selain bantuan kewangan pembiayaan Tekun dan Yayasan Perak serta bank.
Mohammad Firdaus, 39, berperanan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif syarikat manakala Muhammad Nadhir, 39, merupakan Pengarah Urusan.
Perkenalan mereka bermula dari 2003 semasa kedua-duanya menyambung pengajian Diploma Perakaunan di Kolej Islam Darul Ridzuan, yang kini dikenali sebagai Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar.
“Tapi itu baru permulaan. Bila perniagaan mula beroperasi, saingan dalam industri membuatkan kami sedar bahawa perjalanan jauh mencabar.
“Perniagaan kami bukan satu-satunya dalam pasaran. Pesaing lain sudah lama bertapak dengan produk yang hampir sama, malah ada yang lebih murah,” kata Muhammad Nadhir.
Jelasnya, antara strategi perniagaan mereka ialah menaikkan kualiti dan penjenamaan, mempelbagaikan produk pencuci selain menawarkan khidmat pengilang peralatan asal (OEM) kepada sesiapa yang mahu mengeluarkan bahan pencuci jenama sendiri serta pengeluaran mesin isian sabun layan diri.
“Perancangan sahaja tidak cukup. Pelaksanaan yang baik, pengurusan kewangan yang teliti dan pemasaran yang efektif sangat penting.
“Perniagaan yang kami usahakan sekarang terhasil daripada semua pengajaran itu,” ujarnya.
Syarikat itu berpusat di Kawasan Perindustrian SME Bank Menglembu di Ipoh berbekalkan bilangan pekerja di bawah 10 orang dengan jumlah keluaran mencecah sehingga hingga 5,000 botol sebulan.
Pelanggan utama mereka ialah pengguna isi rumah, peniaga serta usahawan.