PENGALAMAN tinggal di inap desa yang terletak di negeri Pantai Timur tidak akan pernah dilupakan oleh lelaki yang mahu dikenali sebagai Ahmad itu.
Biarpun kejadian itu berlaku selama satu malam, namun ia sudah cukup membuatkan Ahmad trauma dan berhati-hati apabila memilih untuk tinggal di inap desa.
Membuka cerita, Ahmad berkata, dia bersama isteri, abang sulung sekeluarga dan ibu bapanya sepakat menempah sebuah inap desa bagi menghadiri perkahwinan sepupu mereka.
“Memandangkan saya, abang sulung dan ibu menetap di Selangor, maka kami sepakat untuk bertolak bersama-sama ke Pantai Timur bagi menghadiri majlis perkahwinan sepupu.
“Kami juga sepakat memilih untuk tinggal di sebuah inap desa lama kerana lokasinya terletak berhampiran dewan kahwin.
“Memandangkan bapa sudah tidak sihat, maka kami tak mahu dia berjalan jauh atau duduk di dalam kereta terlalu lama,” katanya.
Setibanya di inap desa tersebut, Ahmad sudah merasakan sesuatu yang tidak kena, namun dia tidak memberitahu perasaannya itu kepada sesiapa.
Menurut Ahmad, biarpun sudah diubah suai dengan cantik, selain dilengkapi kolam renang dan dekorasi serba moden, namun banglo satu tingkat itu kelihatan seperti rumah ‘tinggal’.
Disebabkan mereka sudah membayar sewa inap desa tersebut, Ahmad segera menepis rasa tidak sedap di dalam hatinya itu.
Apabila masuk ke dalam rumah itu, Ahmad terkejut melihat bahagian dalam rumah yang jauh lebih besar berbanding di luar.
“Bahagian tengah rumah dibiarkan kosong dan luas, sehingga memberi efek menyeramkan.
“Suasananya juga suram, biarpun pada waktu siang. Jadi, kami terpaksa membuka semua lampu rumah,” katanya.
Memandangkan majlis perkahwinan itu berlangsung pada keesokan harinya, Ahmad dan keluarganya memilih berehat sahaja di rumah dan memesan makanan menggunakan aplikasi.
Bagaimanapun, selepas membuat pesanan, makanan yang ditunggu-tunggu masih tidak kunjung tiba selepas lebih tiga jam.
“Saya melihat penghantar makanan itu berkali-kali membuat pusingan berhampiran inap desa tersebut, namun masih tidak kunjung tiba.
“Sebaik sahaja saya keluar dan berdiri di bahu jalan, barulah penghantar makanan itu nampak saya.
“Wajahnya ketakutan dan dia berkali-kali meminta maaf kerana tidak dapat melihat inap desa kami,” kata Ahmad.
Insiden itu membuatkan Ahmad semakin tidak sedap hati, sebelum memberitahu hal itu kepada abang sulungnya.
Ternyata, abang sulung Ahmad juga mengalami gangguan kecil melibatkan suis lampu tandas di biliknya yang berkelip-kelip.
Namun, disebabkan terlalu penat, mereka tidak mahu melayan rasa takut itu dan menganggap semuanya hanya kebetulan.
Selepas menunaikan solat isyak, Ahmad yang keletihan mahu segera tidur.
Memandangkan katilnya terletak bersebelahan tingkap, dia ternampak kelibat seorang wanita berbaju putih sedang melihatnya dari luar.
“Wanita itu merenung tepat ke mata saya sambil tersenyum, sekali gus menyebabkan bulu roma meremang.
“Saya cepat-cepat baca apa sahaja doa yang terlintas di fikiran dan terus masuk tidur,” kata Ahmad.
Sangkanya, gangguan itu akan berakhir di situ. Malangnya, keesokan paginya, Ahmad mendengar bunyi tapak kaki yang kuat dari bumbung ketika sedang mandi.
“Saya ketakutan kerana inap desa itu adalah rumah banglo satu tingkat. Entah dari mana datangnya bunyi tapak kaki itu.
“Kami sekeluarga segera bersiap untuk ke majlis perkahwinan sepupu.
“Kami sudah tidak sabar mahu pulang semula ke kediaman masing-masing selepas majlis tamat,” katanya.
Selepas majlis tamat, kira-kira pukul 3 petang, Ahmad dan keluarganya mahu pulang ke inap desa untuk mengemas barang mereka sebelum pulang.
Begitu pun, mereka tidak jumpa inap desa tersebut kerana tersesat, biarpun sudah melalui kawasan sama berulang kali.
“Kami terus berpusing dan mengikut laluan sama sehingga jarum jam menginjak pukul 7 malam.
“Ketika senja, kami masih tidak jumpa inap desa itu sehingga menyebabkan isteri serta ibu kepenatan dan mula menangis di dalam kereta.
“Saya terus teringat insiden penghantar makanan semalam yang mengalami kejadian sama. Ia menyebabkan saya benar-benar ketakutan dan mahu beredar dari situ segera,” katanya.
Ahmad sekeluarga kemudiannya berjaya pulang ke inap desa itu dengan bantuan seorang lelaki yang tinggal berhampiran.
Jiran tersebut turut berkongsi cerita bahawa ramai penghuni inap desa pernah mengalami kejadian aneh di rumah tersebut.
Lelaki berusia awal 50-an itu juga hairan, punca inap desa itu masih lagi disewakan pemiliknya kerana banyak kejadian aneh berlaku di situ.
Selepas insiden itu, Ahmad cukup berhati-hati dan tidak akan sesekali menyewa inap desa yang meragukan.














