fbpx
Menurut Azmi, Malaysia memilih untuk menggunakan saluran diplomasi bagi menyelesaikan isu di Laut China Selatan. -Gambar hiasan

Dilema perebutan Laut China Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEMELUT perebutan di Laut China Selatan kembali menjadi sebutan selepas tersebarnya surat bantahan diplomasi dari China, sebelum tular dalam media sosial sejak beberapa minggu lalu.

Hal ini menimbulkan kegusaran masyarakat Malaysia yang menganggap bahawa China mahu kembali merampas perairan negara dengan menggunakan cara kekerasan iaitu perang.

Tambahan pula, campur tangan negara-negara luar yang tidak terlibat seperti Amerika Syarikat (AS) dikatakan bakal mengeruhkan lagi keadaan.

Ini memandangkan kedua-dua negara kuasa besar itu tidak mempunyai hubungan baik.

Bagi mengulas isu tersebut, wartawan Kosmo! Ahad, Ghazali Alias menemu bual Pakar Antarabangsa, Prof. Ir. Dr. Azmi Hassan bagi memberikan pencerahan dan pendapat beliau mengenai situasi semasa di Laut China Selatan.

KOSMO AHAD!: Sejak awal bulan ini, ketegangan di Laut China Selatan kembali memuncak membabitkan China dan beberapa negara ASEAN. Berdasarkan pengamatan Prof., apakah punca konflik ini kembali panas?
AZMI HASSAN: Saya tidak melihat kemelut di Laut China Selatan tiba-tiba menjadi tegang, ia sememangnya sudah sebegitu sejak beberapa dekad lalu.

Cumanya, perkara ini kelihatan tegang apabila rakyat melihat surat bantahan diplomatik dari China sebagai satu ugutan yang besar.

Sebenarnya, lebih daripada surat ugutan sudah berlaku dengan China ingin menyatakan bahawa Laut China Selatan adalah milik mereka walaupun itu adalah kawasan zon eksklusif Malaysia.

Jadi, saya tidak melihat ketegangan itu tiba-tiba berlaku, cuma persepsi daripada kaca mata rakyat, ia kelihatan amat menggerunkan apabila China menghantar nota bantahan.

Namun, kalau diikutkan ada banyak lagi insiden yang lebih menggerunkan tetapi tidak disebarkan, cuma perkara ini dihebahkan oleh media asing. Jadi, saya tidak melihatnya sebagai tiba-tiba menjadi tegang.

Difahamkan, China kembali ingin menuntut kawasan perairan dan gugusan di sekitar Laut China Selatan berdasarkan peta Nine-dash line mereka dan mengetepikan ketetapan mahkamah antarabangsa. Boleh Prof. ulas peta Nine-dash line ini dan sejarah panjang konflik di Laut China Selatan?
Berkenaan dengan Nine-dash line, sebenarnya sekarang ia sudah dikenali dengan Ten-dash line selepas pertambahan satu lagi kawasan berhampiran dengan perairan di Taiwan.

Peta ini sudah lama ada iaitu sejak tahun 1950-an, tetapi ia tidak menimbulkan sebarang masalah kerana pada masa itu di Laut China Selatan belum menjadi rebutan.

Hal ini menjadi isu apabila dasar United Nation Convention Law of The Sea (UNCLOS) mula ditubuhkan pada 1982 dan diimplementasikan pada 1994 secara spesifiknya.

Apakah itu maksud perairan kedaulatan 12 batu nautika dan perairan Zon Eksklusif Ekonomi (EEZ) 200 batu nautika secara perundangan yang ditanggung oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)?

Pada ketika itu iaitu sekitar tahun 1990-an, China mula mempunyai kuasa ekonomi yang besar dan mereka menggunakan kuasa itu serta kuasa tentera untuk memuktamatkan atau memantapkan Nine-dash line atau sekarang dikenali sebagai Ten-dash line.

Peta itu secara pukul ratanya merupakan 80 peratus daripada Laut China Selatan di sebelah kita iaitu Vietnam, Filipina, dan Taiwan.

Kalau kita tanya di mana koordinat Nine-dash line?

Perkara itu adalah arbitrari tetapi untuk EEZ 200 batu nautika itu, ia ada persempadanan dan bertindih dengan negara-negara terlibat.

Setakat ini, Malaysia memilih untuk menggunakan saluran diplomasi bagi menyelesaikan isu di Laut China Selatan. Pada pendapat Prof., adakah rundingan sahaja boleh menyelesaikan isu ini?
Ya, Malaysia ingin menggunakan saluran diplomasi dan ini bukanlah merupakan satu dasar luar yang pertama kali, malah sejak beberapa dekad lepas.

Saya rujuk semula pada tahun 2020, ketika kita sibuk dengan Langkah Sheraton iaitu pertukaran kerajaan daripada Tun Dr. Mahathir

Mohamad kepada Tan Sri Mahiaddin Yassin, masa itu berlaku ketegangan antara kapal cari gali minyak disewa oleh Petronas, West Capella dengan kapal peronda China selama satu bulan setengah.

Namun begitu, kawasan tersebut berada dalam EEZ kita, malah tidak ada isu untuk itu kerana ia dikatakan boleh lalu kawasan kita.

Namun, kita kena tahu apa tujuan China membayangi West Capella pada ketika itu.

Ramai yang tidak tahu Malaysia hampir berperang dengan China jika kita tersilap langkah dan tidak menggunakan saluran diplomasi.

Sebenarnya, apakah punca utama China betul-betul ingin berkuasa di Laut China Selatan? Adakah Beijing ingin menguasai laluan perkapalan di situ atau kekayaan sumber asli di kawasan tersebut?
Tidak dinafikan punca utama Laut China Selatan menjadi rebutan adalah kerana hasil mahsulnya. Bukan sahaja dari segi perikanan, malah minyak dan gas yang menjadi masalah besar kepada China yang mahu menguasainya dengan mengatakan bahawa semua itu milik mereka.

Masalah juga berlaku apabila negara lain yang mungkin tiada kena mengena seperti Amerika Syarikat (AS), Australia, Kanada dan Jepun juga campur tangan dengan menggunakan konsep ‘Freedom of Navigation’ iaitu kebebasan perairan.

Kita perlu ingat bahawa EEZ bukan milik negara, malah bukan perairan kedaulatan negara.

Sebaliknya, EEZ dan UNCLOS hanya memberi kebenaran untuk mentadbir serta mengaut keuntungan daripada hasil yang terdapat dalam kawasan EEZ termasuk ikan, minyak dan gas.

Itu sebenarnya keinginan China untuk mempengaruhi atau mendapatkan Laut China Selatan.

Selain daripada hasil mahsul, kawasan itu juga strategik kerana menjadi laluan perairan ketiga paling sibuk di dunia.

Terbaharu, China mengarahkan Malaysia menghentikan semua aktiviti berhampiran Gugusan Beting Raja Jarum yang terletak berhampiran Sarawak. Adakah amaran terbaharu China ini harus dipatuhi?
Memang betul dalam bantahan terbaru daripada China, mereka mahu kita menghentikan semua aktiviti berhampiran Gugusan Beting Raja Jarum, juga berhampiran Beting Serupai dan Beting Patinggi Ali berdekatan dengan Labuan serta Sarawak.

Lokasi ini berada dalam kawasan EEZ kita dan ia menjadi tempat perlindungan dan menangkap ikan bagi nelayan-nelayan di Sarawak sejak lama.

Ini merupakan larangan terbaharu yang mereka ingin kenakan.

Perkara ini bukan kali pertama berlaku tetapi sudah kerap terjadi.

Sebab itu nelayan di Sarawak sering menyatakan kekecewaan mereka kerana dihalau keluar di tempat mereka sering berteduh sejak puluhan tahun lalu iaitu Beting Patinggi Ali dan Beting Raja Jarum. Kini, Beijing menggunakan kekuatan mereka sehingga membolehkan nelayan China masuk untuk menangkap ikan dengan dilindungi oleh kapal-kapal pengawal pantai (PLA).

Perkara ini sudah lama berlaku, cuma ia diselesaikan secara diplomasi. Namun sekarang ini, ia ‘meletup’ kerana nota bantahan oleh China beberapa minggu lalu.

Malah, kawasan ini dikatakan berada dalam EEZ dan kita berhak mempertahankannya dan kapal perang China boleh melalui kawasan tersebut mengikut peraturan EEZ.

Perundangan UNCLOS turut mengatakan perkara sama kerana itu merupakan perairan antarabangsa.

Kita dapati, AS boleh campur tangan dalam isu di Laut China Selatan melalui pangkalan tenteranya di Filipina. Secara asasnya, adakah Prof. melihat campur tangan AS ini diperlukan bagi mengurangkan pengaruh China?
Memang berlaku campur tangan AS menggunakan dalil ‘Freedom of Navigation’ yang dibenarkan dalam UNCLOS dan EEZ.

Namun begitu, kita perlu ingat bahawa AS tidak mengiktiraf dan bukan ahli UNCLOS, tetapi mereka mengguna pakai ketetapan perundangan tersebut.

Bagi saya, kita jangan terjebak seperti Filipina atau Vietnam yang menyebelahi AS.

Malah, saya membaca punca surat protes itu dibocorkan dan disebarkan oleh media Filipina. Mereka mahu memerangkap Malaysia supaya mengikut langkah menyokong AS.

Bagaimanapun, kita tidak mengikut jejak Filipina, tetapi kita mahu berunding bersandarkan diplomasi.

Jika diikutkan, elok juga China menghantar nota diplomasi kerana mereka menggunakan nama-nama peta Malaysia sebagai Kasawari atau Kayu Manis.

Ini kerana, China mempunyai nama sendiri untuk kawasan tertentu.

Maksudnya, apabila mereka menghantar nota diplomasi, China mengiktiraf saluran diplomasi dan kita perlu sambut dengan cara sama serta tidak perlu dihebohkan.

Pada saya, Malaysia tidak mampu melawan, jika benar China merampas pulau terumbu kita seperti Pulau Layang-Layang dan Pulau Terumbu Ubi.

Jadi, saluran diplomasi adalah cara terbaik dengan AS menjadi pengimbang.

Saya melihat, kita menganggap China sebagai ‘abang besar’, tetapi kita ada beri beberapa isyarat.

Jika China terus membuli dan tidak mahu berunding, kita ada ‘abang lebih besar’ iaitu AS.

Tiada isu di situ kerana kita boleh mengharapkan kekuatan angkatan tentera AS.

Walaupun mereka mempunyai agenda, namun kita akan mempergunakan niat AS.

Sekiranya berlaku campur tangan secara terus oleh AS di Laut China Selatan seperti meletakkan kapal perang dan sebagainya, apakah implikasinya kepada negara-negara di sekitar Laut China Selatan terutamanya Malaysia?
Kita sebolehnya mahu mengelakkan campur tangan AS secara terus.

Ini telah pun berlaku di Scarborough Shoal, di mana pertembungan antara Manila dengan Beijing apabila AS mempertahankan Filipina dalam hal ini.

Jadi, kita tidak mahu perkara sama berlaku di West Capella.

Maknanya, apabila AS menghantar kapal, kita menolak dengan mengucapkan ‘terima kasih’ kerana kita tidak menyebelahi mana-mana pihak.

Implikasinya besar, kita tidak mahu pertembungan dua kuasa besar ini menjadi fizikal antara AS dan China.

Hakikatnya, rakyat perlu faham bahawa China belum lagi menceroboh perairan dan kedaulatan Malaysia iaitu kira-kira 12 batu nautika dari pantai negeri terlibat.

Beijing hanya menyelusuri EEZ kerana itu hak mereka, namun tidak boleh menangkap ikan atau mencuri data.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN