BARU-BARU ini penulis berkesempatan bertemu dengan seorang sahabat baik yang sudah beberapa kali cuba mengatur pertemuan kami, namun sering gagal atas kekangan waktu.
Banyak juga yang kami bualkan bermula kisah kenangan ketika belajar ketika di bangku sekolah, alam pekerjaan sehingga ke perihal keluarga.
Namun, topik yang paling mencuri perhatian adalah tentang keluarga, atau lebih spesifik lagi mengenai hubungan sahabat penulis itu dengan suaminya.
Dia ada meluahkan, yang dirinya sering dihimpit tekanan bersuamikan lelaki ‘anak emak’ yang rutinnya sebelum berkahwin, sering dirajakan ibu sendiri.
Baju disiapkan dan dibasuh, makan disediakan, kerja-kerja rumah pun sentiasa dilarang dan sering dimomokkan bahawa ia adalah ‘kerja-kerja kaum wanita’.
Tanggapan dan sikap lelaki itu terbawa-bawa sehingga dia melangkah ke fasa berkeluarga.
Sahabat saya yang juga bekerja dari pagi hingga petang, bukan sahaja perlu memikirkan keperluan anak-anak, malah terpaksa ‘mengasuh’ suami juga.
Ketika suaminya masih berdengkur, sahabat saya perlu bangun tidur seawal 4 pagi untuk menyiapkan anak-anak ke taska dan sekolah termasuk sarapan serta bekal.
Perlu pula dikemaskan dapur dan rumah selain rutin menghidangkan sarapan untuk suami sebelum ke tempat kerja.
Rutin itu berulang seusai pulang daripada kerja iaitu memasak, membasuh dan menjemur pakaian, menghidangkan makan malam untuk seisi keluarga serta mengemas, yang mana sepanjang tempoh itu si suami langsung tidak membantu walaupun hanya membasuh pinggan sendiri.
Sahabat penulis meluahkan, dia sentiasa penat dan tertekan kerana suami terlalu berkira untuk membantu, malah sering mengatakan ia adalah tanggungjawab dan ‘kerja-kerja’ wanita.
Peguam syarie, Nur Hidayah A Bakar, berkata, banyak aduan sebegini dalam rumah tangga yang diterima pihaknya.
Beliau berkata, didikan keluarga yang berbeza menjadikan isteri rasa terbeban dengan tanggungjawab tersebut.
“Dalam Islam, sangat harmoni jika suami isteri lakukan kerja rumah bersama-sama yang bukan hanya meringankan beban, malah mengeratkan kasih sayang.
“Dunia hari ini hanya meletakkan beban ini pada isteri semata-mata, apatah lagi campur tangan daripada keluarga pihak lelaki yang menyokong perbuatan itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Tambah beliau, ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak lelaki khususnya untuk melakukan kerja-kerja rumah sejak kecil supaya mereka menjadikan kelaziman tersebut sehingga dewasa.
“Ia selari dengan hukum syarak mendidik anak-anak lelaki menjadi suami bertanggungjawab dan dihormati isteri kelak.
“Malah, ia sekali gus memecah tradisi masyarakat yang menjadikan lelaki seperti raja dalam rumah tangga apabila meletakkan kerja rumah sebagai tanggungjawab wajib isteri,” jelasnya.














